KUALA LUMPUR, 6 Julai – Malik Streams Production & Distribution hari ini menafikan seorang individu bernama Rayhan Kabir sebagai pekerja mereka.
“Untuk rekod, Rayhan kabir pernah memberikan perkhidmatannya kepada syarikat sebagai kontraktor sebelum ini,
“Beliau bukan merupakan seorang pekerja di syarikat kami. Kami terkejut dengan dakwaan pada akaun Facebook beliau yang mengatakan dirinya sebagai Ketua Pemasaran di syarikat kami,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut kenyataan itu, pihak syarikat akan mengambil tindakan terhadap Rayhan yang mencemarkan nama baik serta reputasi mereka.
“Kami bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa sekiranya mereka ingin menjalankan siasatan berhubung isu ini,” jelasnya lagi.
Pihak syarikat turut menegaskan kenyataan Rayhan terbabit dalam wawancara Al-Jazeera tidak mengambarkan pandangan mahupun prinsip bagi pihak mereka.
Rayhan Kabir merupakan salah seorang individu yang diwawancara oleh Al-Jazeera berhubung isu pembasmian Pendatang Asing Tanpa Izin di negara ini.
Rancangan diterbitkan oleh stesen televisyen yang berpangkalan di Qatar itu mendapat kecaman rakyat Malaysia dan juga kerajaan berhubung laporan berat sebelah terhadap usaha negara dalam membanteras PATI.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri hari ini menafikan sekeras-kerasnya dakwaan oleh rancangan tersebut. – airtimes.my