KOTA TINGGI, 6 Jul – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjaya menahan 2 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang dipercayai menjadi tekong dalam Operasi Benteng (Op Benteng) berhampiran Ladang Kurnia, Bandar Penawar hari ini.
Sel Perhubungan Raya Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div) dalam satu kenyataan berkata, penahanan tersebut dibuat ketika pasukan Rejimen ke-61 Artileri Diraja (61 RAD) sedang melakukan rondaan di kawasan tanggungjawab Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Bgd).
“Pasukan 61 RAD yang diketuai Mejar Paiman Mat Don telah menerima maklumat dari penduduk tempatan mengenai terdapat sebuah kenderaan jenis Proton Wira Aeroback yang berada dikawasan tersebut dalam keadaan yang mencurigai,
“Hasil serbuan tersebut berjaya menangkap 2 orang PATI warga Indonesia pada jam 9.00 pagi dipercayai sebagai tekong,” katanya.
Turut dirampas sebuah kereta Proton Wira yang dipercayai digunakan untuk membawa PATI keluar dari kawasan tersebut dan 3 unit telefon bimbit berserta wang berjumlah RM 949.00 menjadikan keseluruhan nilai rampasan dianggarkan hampir RM7 ribu.
Kesemua yang ditahan dan rampasan dihantar ke Balai Polis Damai untuk tindakan lanjut termasuk pemeriksaan kesihatan COVID-19 dibuat di Pejabat Kesihatan Kota Tinggi, Johor.- airtimes.my