KUALA LUMPUR, 3 Jul – Majlis Perundingan Melayu (MPM) menyambut baik hasrat ketua-ketua parti yang membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk menzahirkan sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Setiausaha Agung MPM, Datuk Dr Hasan Mad berkata pertemuan semalam Muhyiddin dengan ketua parti bagi memperkukuhkan persefahaman serta kerjasama demi kestabilan politik, kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.
“Diharapkan dengan formaliti ini kerajaan yang terbentuk sejak Mac 2020 lepas akan lebih stabil,
“MPM amat bimbang sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) hingga kini, Malaysia dianggap negara yang paling kuat berpolitik di dunia,
“Ia amat membimbangkan kerana senario itu menyebabkan ketidakstabilan dalam banyak aspek kehidupan,” katanya semasa sidang media di Wisma MPM, semalam.
Tambah Hasan, dari aspek ekonomi pula menyebabkan para pelabur asing takut untuk melabur di Malaysia.
“Walhal prasarana ekonomi dan pelaburan serta tenaga kerja teknikal, vokasional dan professional kita adalah diantara yang terbaik di dunia,” jelasnya.
Dalam pada itu, Hasan berkata pertemuan semalam juga difahamkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) setuju untuk menyertai Perikatan Nasional (PN).
“MN secara rasminya akan menerajui PN yang akan didaftar sebagai gabungan parti-parti yang membentuk kerajaan,” katanya.
Menurutnya lagi, seluruh dunia kini berdepan dengan dua malapetaka iaitu pandemik COVID-19 dan kegawatan ekonomi.
“Tapi kita di Malaysia berdepan empat lagi malapetaka bersama dua yang dihadapi dunia iaitu kemelut politik berpanjangan, krisis uniti kaum dan etnik, kebanjiran warga asing dan ancaman keselamatan,” ujarnya.
MPM menegaskan pembentukan PN sebagai sebuah badan gabungan parti politik yang mampu membentuk sebuah kerajaan yang stabil. -airtimes.my