NEW DELHI, 3 Julai – Kerajaan India telah meluluskan pembiayaan sebanyak US$2.43 bilion bagi melakukan pembelian 21 buah jet pejuang MiG-29 dari Rusia dan 12 buah SU-30MKI dari Hindustan Aeronautics Ltd.
Perolehan tersebut dilakukan bagi mempertingkatkan keupayaan Tentera Udara India (Indian Air Force, IAF) ketika menghadapi pertelingkahan sempadan dengan China.
Media India turut melaporkan New Delhi turut meluluskan pembiayaan tingkat upaya 59 jet pejuang MiG-29 yang sedang dioperasikan oleh India.
Selain itu, India turut meluluskan pembelian peluru berpandu kruis untuk pasukan tentera daratnya dan peluru berpandu Astra.
Astra merupakan peluru berpandu udara-udara BVR (Beyind Visual Range) yang pertama dihasilkan oleh India.
Sementara itu, India turut menantikan kehadiran 6 buah jet pejuang Rafale yang dibeli dari Perancis pada akhir bulan ini. Kesemua pesawat tersebut merupakan kumpulan pertama daripada 36 buah Rafale yang bernilai US$ 8.78 bilion.
India sebelum ini dilaporkan untuk merancang pembelian kecemasan berikutan pertelagahan di zon pertikaian dengan China. Pada 15 Jun lalu, seramai 20 orang anggota tentera India dilaporkan terkorban selepas berlaku pergelutan dengan tentera China di Ladakh. – airtimes.my