Home Pertahanan dan Keselamatan Lagi bot nelayan Vietnam ditahan, ceroboh perairan negara

Lagi bot nelayan Vietnam ditahan, ceroboh perairan negara

by Nurulhuda

TERENGGANU, 2 Jul – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Negeri Terengganu menahan dua bot nelayan mencurigakan bersama 27 nelayan warga negara Vietnam yang membabitkan hasil rampasan bernilai hampir RM2 juta.

Kedua-dua bot tersebut ditahan oleh kapal peronda APMM (KM LANGKAWI) yang sedang melakukan rondaan OP IMAN di perairan Terengganu pada jarak 134.6 batu nautika dari Kuala Terengganu, semalam.

Pengarah Maritim Malaysia Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, kedua-dua bot nelayan tersebut ditahan kerana tidak memiliki sebarang dokumen yang sah dan disyaki bot nelayan asing Vietnam.

“Turut ditahan 27 kru termasuk tekong yang disyaki warga Vietnam berumur antara 18 hingga 53 tahun. APMM turut merampas hasil tangkapan, bekalan diesel, peralatan menangkap ikan serta bot yang dianggarkan bernilai hampir RM 2 juta,” katanya dalam hantaran yang dimuat naik di Facebook rasmi APMM, hari ini.

Muhammad Suffi berkata, bot-bot tersebut di bawa ke jeti Maritim Malaysia Terengganu untuk siasatan lanjut di bawah seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia dan Akta Imigresen kerana tekong dan kru tidak memiliki sebarang dokumen yang sah.

“Dalam tempoh yang singkat ini, KM Langkawi telah menahan empat bot nelayan asing di perairan Terengganu, selepas arahan pengusiran ditarik dan kebenaran menangkap serta menahan dikuatkuasakan semula bermula 24 Jun 2020,

“Terdahulu KM Langkawi telah menahan dua bot nelayan asing Vietnam bersama kru warga Vietnam di atas kes yang sama iaitu menceroboh dan kru tiada dokumen sah,” jelas Muhammad Suffi.

Beliau menegaskan bahawa APMM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terutama nelayan asing yang menceroboh perairan negara dan mengaut hasil laut serta merosakan ekosistem biodiversiti marin.

“Rondaan dan pemantauan akan terus dipertingkatkan dari masa ke semasa untuk mencegah sebarang salah laku jenayah serta aktiviti yang menyalahi undang-undang maritim,

“Justeru itu, kerjasama masyarakat terutamanya nelayan tempatan amat dialu-alukan dalam melaporkan sebarang maklumat dan aktiviti salah laku di perairan negara ke talian MERS 999 atau 09-6224357 (Pusat Operasi) Maritim Negeri Terengganu,” tambahnya. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!