KUALA LUMPUR, 1 Julai – Kumpulan peguam hak asasi manusia, Lawyers for Liberty (LFL) hari ini menegaskan pengubahsuaian lukisan Jata Negara secara artistik tidak menyalahi undang-undang.
“Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 hanya melarang penggunaan Jata Negara tanpa kebenaran bertulis dari Menteri,
“Akta ini juga tidak melarang sebarang penghasilan secara artistik yang diinspirasikan dari lambang Jata Negara seperti mana yang terdapat pada kulit buku Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia,” kata Penyelaras LFL, Zaid Malek dalam satu kenyataan.
Beliau merujuk kepada desakan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki kepada kerajaan untuk mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang terlibat dalam penerbitan buku tersebut.
Zaid menambah, undang-undang yang digunakan dalam siasatan kes seperti Akta Hasutan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 sepatutnya tidak digunakan oleh pihak kerajaan.
“Kesemua akta yang digunakan untuk menyiasat kes sememangnya terkenal sebagai undang-undang yang zalim dan tidak demokratik,
“Peraturan sebegini tidak sepatutnya digunakan lagi oleh pihak berkuasa dan perlu dimansuhkan dalam sidang parlimen akan datang,” katanya.
Menurutnya lagi, lukisan yang digunakan adalah lama dan pernah dipamerkan pada tahun 2014.
“Karya yang digunakan pada kulit buku itu bukanlah baharu dan pernah dipamerkan pada tahun 2014 semasa pemerintahan kerajaan UMNO,
“Kenapa sekarang baru nak katakan karya sebegini sebagai satu kesalahan yang tidak boleh diterima?” soalnya.
Tambahnya, isu sebegini merupakan sesuatu yang sengaja diperbesarkan untuk menghalang hak kebebasan bersuara rakyat.
“Dr Asyraf Wajdi perlu beringat bahawa hak kebebasan bersuara adalah sesuatu perkara yang dilindungi dibawah Perlembagaan Persekutuan,
“Tiada sebab kepada pihak berkuasa untuk melayan kontroversi kosong. Sepatutnya kerajaan mempertahankan hak kebebasan bersuara dan bukannya tunduk kepada mana-mana pihak yang berkepentingan yang mempunyai agenda politik,” katanya. -airtimes.my
1 comment
LFL, please explain what is liberty. Am I at liberty to call you monkeys? Baboon?