Home Semasa Polis serbu syarikat percetakan, 313 naskhah buku hina Jata Negara dirampas

Polis serbu syarikat percetakan, 313 naskhah buku hina Jata Negara dirampas

by Bernama

KUALA LUMPUR, 1 Jul – Sejumlah 313 naskhah buku didakwa menghina Jata Negara dirampas polis dalam serbuan ke atas sebuah syarikat percetakan di Petaling Jaya, Selangor, petang semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata rampasan dilakukan selepas siasatan mendapati sejumlah 1,000 naskhah buku berkenaan telah dicetak sebelum ini, bagaimanapun sebanyak 687 naskhah telah terjual secara dalam talian.

“Sepasukan pegawai dan anggota Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman telah dikerah ke sana sejak 3.00 petang semalam bagi merampas baki 313 naskhah yang masih disimpan di syarikat berkenaan,” katanya pada Selasa.

Jelasnya, polis kini dalam proses meneliti naskhah buku berkenaan selain telah mengenal pasti individu terbabit yang melakar kulit buku berkenaan.

Mengulas lanjut, Huzir berkata tangkapan ke atas individu mempunyai kaitan dalam penghasilan buku itu akan dibuat sekiranya terdapat keperluan.

Polis dalam masa sama menerima sebanyak 32 laporan berhubung kes berkenaan.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tak Wajar) (Pindaan) 2016, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 8 (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984,” katanya.

Pada Isnin, tular di media sosial sebuah buku bertajuk ‘Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia’ yang mempamerkan sebuah logo mirip Jata Negara yang diubah suai sebagai penghias kulit buku berkenaan. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!