PUTRAJAYA, 30 Jun – Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini, menjelaskan kerajaan telah memutuskan untuk membuka semula Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di PadangBesar, Perlis dan Durian Burung, Kedah.
Bagaimanapun beliau berkata, pembukaan pintu sempadan negara itu hanya untuk kenderaan perdagangan komersial dan kargo sahaja.
“Agensi-agensi yang terlibat telah dimaklumkan mengenai keputusan berkenaan untuk tindakan seterusnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ismail Sabri berkata, mesyuarat ini juga telah bersetuju bagi membenarkan rakyat Malaysia yang berada di Singapura dan berhasrat untuk pulang ke Malaysia, tidak perlu lagi memohon permit MyPass dari Suruhanjaya Tinggi Malaysia.
Dalam masa yang sama, beliau menjelaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat 67 Sekatan Jalan Raya (SJR) Operasi Benteng di seluruh negara dan memeriksa 40,527 kenderaan bagi mengekang kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) terutamanya di lorong-lorong tikus.
“PDRM juga telah menahan seorang warganegara asing kerana kesalahan imigresen,
“Operasi Benteng yang melibatkan PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) adalah bagi mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi PATI dalam mengekang jenayah rentas sempadan selain menyekat penularan wabak COVID-19,
“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” tambah kenyataan itu. -airtimes.my