KUALA LUMPUR, 29 Jun – Pergerakan Pemuda UMNO menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) segera mengambil tindakan kepada penulis, penyunting dan penerbit sebuah buku bertajuk ‘Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia’ yang menghina Jata Negara.
Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata satu lukisan mirip Jata Negara di hadapan buku tersebut juga terdapat seorang kanak-kanak berbogel di atas bulan dan bintang, serta mengubahsuai bentuk dua ekor harimau selain menambahkan bentuk seekor buaya di bahagian bawahnya.
“Perbuatan ini jelas menggambarkan betapa penulis buku seolah-olah merendah-rendahkan martabat Jata Negara dan menghina lambang rasmi kedaulatan negara,
“Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) (Pindaan) 2016 telah memperuntukkan penjara sehingga tiga tahun dan denda sehingga RM20,000 bagi kesalahan penggunaan lambang negara termasuk jata negara secara tidak wajar,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Tambah Asyraf lagi, akta yang baru dipinda dengan meningkatkan hukuman 20 kali ganda pada tahun 2016 belum cukup menggerunkan sesetengah pihak sehingga sanggup secara terbuka membuat penghinaan terhadap lambang rasmi negara, melalui penerbitan buku sebegini.
“Justeru, Pergerakan Pemuda UMNO dengan ini mendesak agar pihak penulis, penyunting dan penerbit buku ini disiasat dan diambil tindakan tegas oleh pihak berkuasa jika benar terbukti wujud motif untuk berlaku biadab dan menghina lambang rasmi negara,
“KDN juga harus segera mengambil langkah menggantung penerbitan dan pengedaran buku ini untuk mengelakkan daripada terlepas ke luar negara, seterusnya menjatuhkan imej negara di mata masyarakat dunia,” tegasnya.
Sementara itu, Ketua Penerangan PAS, Kamarulzaman Mohamad juga menggesa KDN bertindak dengan segera dengan mengantung perjualan buku tersebut yang jelas menghina negara.
“Secara khusus Jata Negara telah diubah dengan cara yang memperolok dan memperlekeh hingga menampakkannya secara jahat, keji dan hina serta direndahkan martabatnya. Perbuatan demikian terhadap lambang rasmi negara adalah satu kesalahan yang sangat serius,
“Bahkan penerbitan buku ini dilihat berunsur provokatif, mempertikai, menyanggah dan cubaan menghasut serta menimbulkan ketidaktenteraman awam. Ia juga dilihat mengandungi unsur-unsur melampau yang mesti dicegah pihak berkuasa,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, PAS mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat individu-individu utama dalam penghasilan buku ini dan mengambil tindakan selaras undang-undang kerana jelas motif lukisan pada muka depan buku menghina lambang kedaulatan negara. – airtimes.my