Home Pertahanan dan Keselamatan COVID-19: Pengoperasian dron ATM terima pengiktirafan kerajaan Johor

COVID-19: Pengoperasian dron ATM terima pengiktirafan kerajaan Johor

by Air Times News Network

KLUANG, 29 Jun – Pengoperasian dron Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam melaksanakan pemantauan dari udara di Simpang Renggam bagi mempertingkatkan pematuhan masyarakat kepada penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mendapat pengiktirafan oleh kerajaan negeri Johor.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad semasa lawatan kerja ke daerah Kluang telah menyampaikan Sijil Penghargaan kepada petugas barisan hadapan (frontliners) di Dewan Terbuka Sekolah Kebangsaan Kampung Dato’ Ibrahim Majid Simpang Renggam semalam.

“Tahniah dan terima kasih kepada barisan hadapan yang bertungkus lumus bagi memastikan keselamatan rakyat ketika negara kita dilanda wabak COVID-19,

“Terutama kepada mereka yang bertugas membantu di Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Kampung Ibrahim Majid, Kluang,” kata Hasni menerusi catatan facebook rasminya.

Menerusi catatan facebook Hasni, beliau telah menyampaikan sijil tersebut kepada Ketua Tim Dron Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dari Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP), Kolonel Abdul Razak Sipit dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APAM) daerah Kluang, Kapten (PA) Mohd Hairol Ishak.

Sijil ini juga turut disampaikan kepada Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Darat (7 Briged, 33 Artileri, 5 RAMD), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Pejabat Kesihatan Daerah Kluang, Jabatan Kerja Raya (JKR), Majlis Agama Islam Johor, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pelbagai agensi yang terlibat.

Sijil Penghargaan ini disampaikan kepada frontliners yang terlibat secara langsung dengan usaha pemutusan rantaian penularan wabak pandemik COVID-19.

Tambah Hasni lagi, kerajaan negeri juga telah dan akan berusaha sedaya mungkin bagi mencari langkah tertentu untuk memulihkan kembali ekonomi yang terkesan akibat COVID-19.

Kg Datuk Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Datuk Ibrahim Majid di Simpang Renggam merupakan lokasi yang pertama dilaksanakan PKPD berkuatkuasa 27 Mac 2020 selepas 61 penduduknya dikesan positif COVID-19.

PKPD ini melibatkan 3,570 orang penduduk tempatan daripada 650 keluarga dan telah berakhir pada 28 April 2020.

Teknologi dron digunakan sepenuhnya oleh anggota ATM dan PDRM untuk menyampaikan maklumat dan memantau pergerakan orang ramai di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKPD terutama di Simpang Renggam, Johor.

Dron yang digunakan dilengkapi dengan pembesar suara untuk menghebahkan pesanan dalam tiga bahasa iaitu Bahasa Melayu, Cina dan Tamil, kepada orang ramai agar sentiasa berada di rumah.

Bermula 2 April lalu, ATM telah menghantar dua pasukan dron dari BSPP, bagi menentukan penguatkuasaan PKP dilaksanakan dengan lebih efisen dalam membuat liputan serta pengawasan dari udara dengan cepat bagi mengawal pergerakan orang ramai – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!