Home Pertahanan dan Keselamatan OP Benteng: Lebih 3,000 PATI telah dihantar pulang

OP Benteng: Lebih 3,000 PATI telah dihantar pulang

by Fatini Hanis Norzali

PUTRAJAYA, 26 Jun – Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini menyatakan pihak berkuasa telah mengusir lebih daripada 3,000 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ke negara asal mereka.

Beliau berkata, sehingga kini, lebih 2,500 PATI telah dihantar pulang ke Indonesia, manakala 4,200 PATI masih dalam proses untuk dihantar pulang.

“Di Sabah pula, sebanyak 672 PATI Indonesia telah dihantar pulang, manakala 5,280 PATI Filipina akan dihantar pulang ke negara asal mereka mulai 30 Jun ini,

“Kesemua PATI telah menjalani saringan COVID-19 dan disahkan negatif sebelum dihantar pulang,

“Manakala PATI dari negara-negara lain juga dalam proses penghantaran,” katanya dalam satu sidang media di Putrajaya, hari ini.

Dalam masa yang sama, Ismail Sabri menjelaskan seramai 1,057 PATI dan 188 tekong telah ditahan kerana cuba memasuki sempadan negara secara haram terutama lorong-lorong tikus sejak dari 1 Mei lalu.

“Turut ditahan 63 individu yang disyaki penyeludup serta 32 buah kapal,

“PDRM juga telah berjaya menahan 6 warganegara asing di Sekatan Jalan Raya Operasi Benteng atas kesalahan imigresen,” ujarnya.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram serta tidak akan berkompromi terhadap pihak yang terlibat dalam penyeludupan masuk PATI.

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!