LANGKAWI, 24 Jun – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 1 Langkawi menahan 8 nelayan warga Thailand dalam Op Benteng di kawasan perairan Selat Kuah, Langkawi, pada Selasa.
Komander PPM Wilayah Satu, Deputi Supritendan Polis Rohizan Mohamad Saaid Ismail berkata, penahanan nelayan tersebut dibuat selepas tekong bot berkenaan gagal mengemukakan lesen bot yang digunakan.
“Bot ronda PPM iaitu PSC 18, telah terserempak dengan sebuah bot laju yang mencurigakan tanpa memasang lampu pengenalan di Perairan Selat Kuah Langkawi pada jam 1 pagi,
“Kemudian, bot ronda PPM telah memintas bot berkenaan dan berjaya menahan bot tersebut di kedudukan 39 batu nautika dari Pulau Bumbung Besar menghala ke sempadan perairan laut Malaysia Thailand,
“Hasil pemeriksaan yang telah dijalankan, terdapat 8 lelaki disyaki warga Thailand yang berusia antara 19 hingga 42 tahun,
“Kesemua mereka gagal menunjukkan dokumen perjalanan diri yang sah,” katanya pada hantaran Facebook rasmi PPM, malam tadi,” katanya.
Rohizan berkata pasukannya turut merampas peralatan menangkap ikan dan hasil tangkapan seberat 800 kilogram.
“8 nelayan tersebut serta rampasan dianggarkan bernilai RM161,000 telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi untuk tindakan lanjut,
“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah,” ujarnya.-airtimes.my