KUALA LUMPUR, 23 Jun – Syarikat penerbangan perlu menurunkan harga tambang susulan kelonggaran Standard Operasi Prosedur (SOP) penjarakan sosial terhadap penumpang dalam pesawat dan pengunjung terminal.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dalam satu kenyataan berkata pihaknya telah berjumpa dengan Malaysia Airlines Berhad (MAB), Air Asia Berhad dan Malindo Air bagi membincangkan keperluan menurunkan harga tambang serta meningkatkan kekerapan penerbangan sejajar dengan pengecualian arahan penjarakan sosial di dalam pesawat bagi semua perkhidmatan berjadual dan tidak berjadual.
“Syarikat-syarikat penerbangan telah memaklumkan bahawa harga tiket penerbangan ditentukan menggunakan kaedah dinamik (dynamic pricing mechanism) yang antara lain mengambil kira kadar penawaran dan permintaan yang didorong oleh pasaran,
“Mereka juga akan menetapkan kadar tambang penerbangan dengan mengambil kira permintaan pasaran, keadaan ekonomi serta faktor-faktor lain seperti harga bahan api dan kos operasi serta memastikan terdapat permintaan yang berterusan dan stabil sebelum harga tambang dapat kembali ke tahap normal,” jelasnya.
Tambahnya lagi, syarikat penerbangan turut memaklumkan bahawa harga tambang juga mengambil kira waktu tiket dibeli dan sekiranya tiket yang dibeli terlalu hampir dengan tarikh penerbangan maka harga tambang akan menjadi lebih tinggi.
“Oleh itu, orang ramai disaran untuk membuat perancangan dengan membeli tiket penerbangan lebih awal bagi mendapatkan tawaran harga tiket yang lebih murah,
“Kerajaan juga telah mengingatkan syarikat penerbangan untuk sentiasa menetapkan harga tambang penerbangan yang munasabah serta tidak membebankan rakyat terutama semasa tempoh pemulihan akibat pandemik Covid-19,” jelasnya lagi.