KUALA LUMPUR, 23 Jun – Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang giat memburu pengendali akaun yang mempromosi perkhidmatan membawa masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini dalam laman sosial.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata siasatan awal mendapati, salah seorang pengendali akaun itu telah ditahan dalam Op COVID-19 Benteng, pada 4 hingga 7 Jun lepas.
“Polis masih lagi mengesan individu lain dipercayai pengendali laman sosial yang mempromosi perkhidmatan membawa masuk pendatang tanpa izin ke negara ini,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Isnin.
Huzir berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah akhbar tempatan hari ini yang mendakwa terdapat sindiket mempromosi perkhidmatan membawa pendatang tanpa izin ke negara ini menerusi laman sosial Facebook.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata pihaknya turut memantau kegiatan berkenaan dengan melakukan perkongsian maklumat antara agensi.
“PDRM dan Imigresen masing-masing telah berkongsi maklumat berhubung isu ini malah kami sentiasa memantau isu yang dibangkitkan dalam laman sosial termasuk aktiviti membawa masuk pendatang tanpa izin,” katanya.
Akhbar tempatan semalam melaporkan sindiket berkenaan mengenakan bayaran antara RM1,600 hingga RM3,000 untuk membawa masuk seorang pendatang tanpa izin warga Indonesia ke negara ini.
Terdahulu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sejak 1 Mei hingga semalam, 977 pendatang tanpa izin dan 161 tekong ditahan kerana cuba memasuki sempadan negara secara haram terutama melalui lorong tikus.- Bernama