Home Pertahanan dan Keselamatan Op Benteng: APMM tahan kapal dagang bersauh tanpa izin

Op Benteng: APMM tahan kapal dagang bersauh tanpa izin

by Nurulhuda

MELAKA, 20 Jun – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Sembilan dan Melaka menahan sebuah kapal dagang yang didapati bersauh tanpa kebenaran di perairan Bandar Hilir, Melaka pada Khamis

Pengarah Maritim Negeri Sembilan dan Melaka, Kepten Maritim Haris Fadzillah Abdullah dalam hantaran facebook rasmi APMM berkata, pihaknya telah menahan kapal dagang yang berdaftar di Liberia itu dalam Op Benteng yang dijalankan di sekitar perairan Selat Melaka di kedudukan lebih kurang 4.8 Batu Nautika Barat Daya Bandar Hilir.

“Hasil pemeriksaan mendapati kapal dagang MT Marquessa berkenaan gagal mengemukakan dokumen kebenaran bersauh daripada Pengarah Jabatan Laut Malaysia,

“Nakhoda bersama Ketua Jurutera kapal warganegara Filipina, masing-masing berusia 56 dan 63 tahun tersebut ditahan dan dibawa ke pejabat Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Haris menjelaskan, kes akan disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (Merchant Shipping Ordinance) MSO 1952 dan jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100 ribu atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Beliau menegaskan pihaknya sentiasa meningkatkan operasi penguatkuasaan bagi membenteras dan menyekat aktiviti jenayah rentas sempadan di perairan Melaka dan Negeri Sembilan.

“Orang ramai diminta untuk menyalurkan maklumat berkenaan jenayah dan kecemasan di laut di talian Pusat Operasi Maritim 06-3876730 dan 999 yang beroperasi secara 24 jam,” tambahnya. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!