Home Pertahanan dan Keselamatan Menteri Pertahanan turun padang lihat kesiagaan aset TUDM

Menteri Pertahanan turun padang lihat kesiagaan aset TUDM

by Farrah Najihah Hisyam

BUTTERWORTH, 20 Jun – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengadakan lawatan pertamanya ke Pangkalan Udara Butterworth (PU Butterworth) hari ini.

Lawatan ini bertujuaan untuk mengetahui keadaan semasa tahap kemampuan aset-aset Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

TUDM dalam satu kenyataan berkata beliau bersama dengan delegasi tiba di PU Butterworth pagi tadi disambut oleh Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Ackbal Abdul Samad TUDM.

Turut bersama dalam lawatan, Panglima Operasi Udara, Lt Jen Dato’ Mohammad Salleh Osman TUDM; Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Lt Jen Dato’ Roshaimi Zakaria TUDM; beberapa pegawai kanan TUDM serta kumpulan eksekutif pangkalan.

Menurut kenyataan itu, lawatan ulung kerja Menteri Pertahanan ke perkhidmatan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tersebut adalah manifestasi amanat beliau yang memfokuskan empat hala tuju Kementerian.

“Antaranya ialah memperkasakan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dari segi aset dan persenjataan serta mempertingkatkan sistem teknologi yang digunakan agar selari dengan perkembangan teknologi terkini,

“Selain itu memperkasakan aspek kesejahteraan anggota ATM, kebajikan veteran serta industri pertahanan agar Malaysia dapat menjadi sebuah negara yang kuat dalam industri pertahanan di rantau ini,” jelas kenyataan itu.

Sepanjang lawatan, Ismail Sabri diberikan taklimat pengoperasian PU Butterworth, perancangan, pembangunan insfrastruktur termasuk kediaman RKAT, kekangan serta cabaran yang dihadapi oleh pihak pangkalan.

“Beliau juga telah dibawa melihat pameran statik pesawat pejuang F/A-18D (Hornet), Hawk dan helikopter EC 725 AP,

“Selain itu beliau turut melihat kesiagaan pengoperasian Pusat Simulator Pejuang (PSP) iaitu Full Mission Simulator (FMS) HAWK dan Tactical Operational Flight Trainer (TOFT) Hornet serta berpeluang membuat simulasi menerbangkan pesawat pejuang berkenaan,” tambahnya.

Kehadiran beliau itu diharap dapat membawa perubahan baharu di dalam memperkasakan teknologi aset pertahanan dan persenjataan yang perlu diberikan keutamaan dalam mempertahankan kedaulatan negara seterusnya menjadikan ATM sebagai pasukan pertahanan negara yang digeruni dan dihormati.

Dalam pada itu, lawatan Menteri Pertahanan kali ini turut melakar sejarah yang tersendiri apabila dilaksanakan ketika fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKP) dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti pemeriksaan suhu badan diambil, amalan penggunaan hand sanitizer, penjarakan sosial serta meminimumkan jumlah kehadiran.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!