Home Pertahanan dan Keselamatan 300 tekong warga tempatan kini diburu pihak berkuasa

300 tekong warga tempatan kini diburu pihak berkuasa

by Farrah Najihah Hisyam

KUALA LUMPUR, 19 Jun – Pihak berkuasa kini sedang memburu 300 tekong dan dalang warga tempatan yang dipercayai terlibat dalam kegiatan penyeludupan masuk Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ke negara ini. 

 

National Task Force (NTF) dalam kenyataan hari ini berkata, operasi memburu dalang ini bukan sahaja tertumpu di perairan Semenanjung, Sabah dan Sarawak, bahkan juga di semua sempadan daratan negara.

 

Menurut kenyataan itu, rakyat tempatan khasnya nelayan, pemilik dan operator bot serta pemancing bakal dikenakan tindakan keras oleh pihak berkuasa sekiranya didapati bersalah menjadi tekong yang menguruskan penyeludupan masuk PATI berkenaan.

 

“Mereka boleh didakwa mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,

 

“Malah lesen menangkap ikan, memancing dan lesen mengoperasikan bot penumpang atau rekreasi juga akan dibatalkan,” jelasnya.

 

Dalam masa sama, NTF menerusi Operasi Benteng (Op Benteng) akan menggempur sehingga ke akar umbi bagi memastikan tiada pendaratan PATI khususnya sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

 

“Operasi ini dijalankan bagi mengelak risiko jangkitan wabak COVID-19 serta tiada pelanggaran undang-undang oleh mana-mana pihak,” tambahnya.

 

Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, seramai 910 PATI dan 158 tekong telah berjaya ditahan kerana cuba memasuki sempadan negara secara haram terutama lorong-lorong tikus. Turut ditahan 21 individu yang disyaki penyeludup serta 18 buah kapal.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!