JOHOR BAHRU, 18 Jun – 18 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertugas di pantai Timur Johor ditahan kerana disyaki bersubahat dengan sindiket bagi menyeludup pendatang tanpa izin (PATI).
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua pegawai dan anggota itu ditahan susulan penangkapan 40 suspek dalam operasi aktiviti penyeludupan migran yang dilancarkan pada 4 Jun 2020.
Beliau berkata, 18 pegawai dan anggota penguatkuasa yang ditahan itu berumur di antara 24 hingga 41 tahun.
“Ia membabitkan dua pegawai dan tiga anggota lain-lain pangkat daripada ATM dan 13 anggota PDRM termasuk seorang pegawai berpangkat Asisten Superitanden Polis yang bertugas di salah sebuah Ibu Pejabat Polis (IPD) di Johor Bahru,
“Turut ditahan dua anggota berpangkat rendah yang bertugas di Bukit Aman dan seorang dari Balai Polis Marin, Wilayah 2, Tampoi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ayob Khan berkata, kesemua suspek akan disiasat berhubung penglibatan dalam sindiket penyeludupan migran dan akan dikenakan tindakan undang-undang sekiranya terbukti bersalah.
“Semua yang ditahan akan disiasat dibawah seksyen 130V hingga seksyen 130ZB Bab VIB Jenayah Terancang, Kanun Kesiksaan dengan menggunapakai prosedur dibawah Akta Kesalahan Keselamatan, Langkah-Langkah Khas 2012, (SOSMA),
“Polis Johor tidak akan bertolak ansur dan melindungi pegawai dan anggota mana-mana penguatkuasa sekiranya mereka di dapati benar-benar terlibat dalam sindiket penyeludupan migran,” tambahnya lagi.-airtimes.my