PONTIAN, 17 Jun – Meskipun Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) telah pun bermula, ini tidak bermakna pengawasan di kawasan perairan dilupakan terutama apabila sempadan negara masih tidak dibuka kepada orang luar dan dikawal ketat bagi mengekang penularan COVID-19.
Kini turut menjadi tumpuan pengawasan termasuk Parit Jawa dan Sungai Muar di Muar, Sungai Semerah dan Sungai Ayam di Batu Pahat serta Sungai Buntu dan Sungai Api-Api di Pontian, yang dikenal pasti sebagai antara lokasi ‘titik panas’ yang menjadi ‘pintu masuk’ migran dan penyeludupan barangan larangan ke negeri Johor.
Mendedahkan perkara itu, Timbalan Pengarah Operasi Maritim Johor Kepten Maritim Sanifah Yusof berkata keadaan muka bumi berpaya bakau di kawasan pantai barat berkenaan menjadi lokasi pilihan pendaratan para migran dan penyeludupan barangan terlarang memandangkan kawasan itu agak sukar didekati pihak berkuasa.
“Modus operandi migran ini adalah memasuki kawasan pantai menggunakan bot pancung sewaktu berlakunya air pasang dan menggunakan kawasan paya bakau untuk menyelinap masuk memandangkan mereka tahu paya bakau merupakan kawasan kekangan untuk APMM ke situ kerana berair cetek,” kata Sanifah kepada Bernama yang mengikuti kawalan APMM Negeri Johor menerusi Op Benteng di perairan Pontian, baru-baru ini.
Menurut Sanifah, pendatang asing tanpa izin dari negara jiran dipercayai akan kembali ke negara ini selepas sambutan Aidilfitri dan selaras pembukaan semula sektor ekonomi negara ketika pelaksanaan PKPP.
Justeru, katanya, menjadi tanggungjawab APMM Negeri Johor menerusi Op Benteng supaya menjalankan kawalan dan pemantauan lebih ketat di perairan negeri ini khususnya di lokasi panas di perairan Selat Melaka bagi mengekang kemasukan migran.
“Kami (APMM Negeri Johor) percaya selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri dan sektor ekonomi negara yang dihidupkan semula ketika ini, pendatang asing tanpa izin akan cuba memasuki negara ini untuk bekerja.
“Sebab itu, kerajaan mewujudkan Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) dan melancarkan Op Benteng yang APMM terlibat secara langsung dengan NTF ini bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin sekali gus menangani penularan COVID-19,” katanya.
Op Benteng yang diaktifkan sejak bulan lepas di bawah NTF merupakan kerjasama antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), APMM, Kementerian Kesihatan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia.
Sanifah berkata kawalan APMM Negeri Johor di kawasan pantai barat bermula dari perairan Sungai Kesang di Muar sehingga Tambak Johor di bahagian barat yang meliputi pantai Selat Melaka sepanjang 231 kilometer atau 125 batu nautika dan kawasan seluas 3,889 kilometer persegi.
Beliau berkata bagi kawasan pantai timur pula ia membabitkan Tambak Johor di bahagian timur sehingga sempadan Pahang meliputi pantai sepanjang 254 kilometer atau 137 batu nautika dan kawasan seluas 10,445 kilometer persegi.
Katanya penugasan kawalan melibatkan keseluruhan 500 anggota dari Zon Maritim Batu Pahat, Zon Maritim Tanjung Sedili serta Zon Maritim Mersing dengan kekuatan aset 11 kapal dan 21 bot pemintas milik agensi itu.
Bagi melancarkan penugasan, APMM Negeri Johor turut dibantu pasukan udara yang melakukan rondaan dikoordinasikan ibu pejabat APMM Putrajaya dan dua radar Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) di Tanjung Piai, Pontian dan Segenting, Batu Pahat yang beroperasi 24 jam sehari bagi memantau kehadiran kapal dan bot.
Sepanjang tahun lepas, sebanyak 37,141 pemeriksaan ke atas kapal dan bot dilakukan pihaknya di perairan negeri ini manakala sejak Januari hingga 9 Jun lepas sebanyak 18,275 pemeriksaan dilakukan termasuk 11,064 pemeriksaan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.
Hasilnya, 170 kes tangkapan dilakukan sepanjang tahun lepas manakala 108 kes tangkapan sejak Januari hingga 9 Jun lepas termasuk 73 kes tangkapan sejak PKP dilaksanakan, yang kesemuanya meliputi pelbagai kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985, Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952, Akta Kastam 1967, Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Dadah Berbahaya 1952.
Nilai rampasan daripada kesemua pemeriksaan terbabit melibatkan RM138.608 juta pada tahun lepas dan RM32.412 juta sejak Januari hingga 9 Jun lepas manakala nilai keseluruhan denda terlibat pada tahun lepas sebanyak RM1.809 juta dan RM884,000 sejak Januari hingga 9 Jun lepas, katanya.
Terbaru, pihaknya turut menggagalkan tiga cubaan penyeludupan dadah menerusi laluan laut di pantai barat melibatkan rampasan 29.55 kilogram syabu dan 14.7 kg pil ekstasi, kesemuanya dianggarkan bernilai hampir RM3 juta di Parit Samsu dan Parit Jawa, dekat Muar, pada Mei dan Jun, tahun ini.
Selain itu, pihaknya turut menumpaskan cubaan menyeludup 30 kilogram syabu, 3,300 ekor labi-labi serta 45,000 ekor benih udang kara juga sekitar perairan Muar pada tahun lepas.
Berhubung migran pula, seramai 129 orang ditahan pihaknya di perairan negeri ini sepanjang tahun lepas manakala 69 orang sejak Januari hingga 9 Jun lepas kerana didapati keluar atau masuk ke negeri ini menggunakan laluan tidak sah.
Dalam masa yang sama, pihaknya turut bersiap siaga untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sekiranya berlaku sebarang kejadian di laut seperti bot karam serta melakukan pemantauan terhadap nelayan asing yang cuba memasuki dan menangkap ikan di perairan Malaysia serta pemantauan di utara negara bagi mengekang kemasukan pelarian Rohingya.- Bernama