PEKANBARU, 15 Jun – Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam nahas jet pejuang Hawk 209 milik Tentara Nasional Indonesia – Angkatan Udara (TNI-AU) yang berlaku pada awal pagi tadi.
Perkara tersebut telah disahkan oleh Ketua Penerangan Pangkalan Udara Roesmin Nurjadin.
“Alhamdulillah juruterbang selamat dan sekarang sedang dirawat di Rumah Sakit (Hospital) Pangkalan Udara (Lanud) Roesmin Nurjadin,” kata Leftenan Kolonel Sus M Zukri yang dipetik oleh media Indonesia.
Dalam kejadian pada pukul 7.30 pagi waktu Indonesia Barat (8.30 pagi waktu Malaysia), jet pejuang malang itu sedang melakukan latihan penerbangan.
Pesawat yang dioperasikan oleh Skuadron Udara 12 Lanud Roesmin Nurjadin itu terhempas di kawasan perumahan.
Difahamkan, sebuah rumah terjejas akibat insiden tersebut dan tiada penghuni berada di rumah ketika kejadian. Juruterbang turut berjaya menyelamatkan diri dengan menggunakan kerusi lenting (ejection seat). – AirTimes.my