PUTRAJAYA, 7 Jun – Sambutan Hari Raya Aidiladha dan ibadah korban dibenarkan semasa Perintah Kawalan Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilaksanakan, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Namun, beliau berkata sambutan tersebut harus tertakluk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) pihak berkuasa agama Islam.
“Dalam kategori perayaan dan aktiviti keagamaan, saya nak sampaikan berita baik. Sambutan Hari Raya Aidiladha dan ibadah korban akan dibenarkan tertakluk kepada SOP pihak berkuasa agama Islam,” kata Muhyiddin Yassin semasa menyampaikan Perutusan Khas berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan di Putrajaya, hari ini.
Malah, Muhyiddin turut mengumumkan kelonggaran akan diberikan untuk solat berjemaah dan aktiviti keagamaan di masjid dan rumah-rumah ibadah lain.
“Untuk solat berjemaah dan aktiviti keagamaan di masjid dan rumah-rumah ibadat pula, kelonggaran untuk membenarkan lebih ramai jemaah hadir mengikut ruang keluasan masjid atau rumah ibadat sedang diperhalusi oleh kerajaan dan akan diumumkan sedikit masa lagi,” tambahnya.
Terdahulu, Muhyiddin Yassin telah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat telah digantikan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan mulai 10 Jun sehingga 31 Ogos 2020. – airtimes.my