Home Semasa Rakyat Malaysia pulang dari luar negara dibenarkan terus ke rumah

Rakyat Malaysia pulang dari luar negara dibenarkan terus ke rumah

by Nurulhuda

PUTRAJAYA, 7 Jun – Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menjelaskan rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara dibenarkan terus pulang ke rumah sekiranya ujian saringan mendapati mereka bebas jangkitan COVID-19.

Menurut beliau, perubahan polisi itu berkuatkuasa mulai 10 Jun ini.

“Mereka akan menjalani ujian saringan swab di pintu masuk negara. Sekiranya disahkan negatif jangkitan COVID-19, mereka dibenarkan pulang dan menjalani kuarantin wajib di rumah,

“Selain itu, mereka yang didapati dijangkiti COVID-19 akan dihantar terus ke hospital,” kata Menteri semasa Sidang Media Harian berhubung Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, hari ini.

Beliau menambah, rakyat yang dibenarkan pulang ke rumah akan dipantau melalui aplikasi MySejahtera dan memakai gelang tangan kuarantin.

Pada masa yang sama, beliau turut menegaskan mereka yang menjalani kuarantin di rumah tidak dibenarkan keluar atau akan berdepan dengan tindakan.

“Jika ingkar, mereka akan dikompaun RM 1 ribu atau didakwa ke mahkamah dan berdepan dengan hukuman yang lebih berat,” ujarnya.

Sementara itu, Ismail Sabri menyatakan perubahan polisi ini adalah berdasarkan data kes jangkitan import di kalangan rakyat Malaysia adalah rendah iaitu pada 1%.

“Selain kadar jangkitan yang rendah, kita melihat kes COVID-19 di peringkat global mula terkawal dan menurun,

“Selain itu, kita telah meningkatkan keupayaan untuk melaksanakan ujian saringan COVID-19 dan keputusan ujian dapat diterima dengan cepat,” jelasnya.

Ismail Sabri turut menggesa mana-mana rakyat Malaysia yang ingin pulang ke tanah air perlu memuat turut aplikasi MySejahtera bagi memudahkan urusan ketika tiba di pintu masuk negara.-airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!