SAO PAULO, 7 Jun – Kerajaan Brazil bertindak memadamkan paparan umum statistik COVID-19 di negara itu pada Jumaat lalu.
Presiden Brazil, Jair Bolsonaro menegaskan tindakan itu dibuat berikutan data yang dipaparkan adalah tidak tepat dan bertentangan dengan situasi sebenar di negara Amerika Latin itu.
“Data kumulatif yang dipaparkan tidak mencerminkan situasi sebenar Brazil. Tindakan selanjutnya akan diambil bagi memastikan penyampaian data adalah tepat dan jelas,” kata Bolsonaro dalam ciapan di akaun Twitternya.
Menurut Reuters, Kementerian Kesihatan Brazil telah memadamkan data terperinci kes jangkitan COVID-19 mengikut kawasan di negara itu.
“Pihak kerajaan Brazil turut berhenti untuk mengeluarkan data terkini kes jangkitan selepas ianya melebihi paras 672 ribu,
“Ini termasukah angka terkini kematian iaitu 36 ribu,” lapor Reuters.
Menurutnya, akses ke laman tersebut telah disekat pada Jumaat lalu sebelum diberikan paparan baharu, semalam.
Brazil melaporkan lebih banyak kes jangkitan dan kematian di peringkat global selama 4 hari berturut-turut. – AirTimes.my