PUTRAJAYA, 4 Jun – Kesemua anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertugas di Hospital Medan Malaysia Cox’s Bazar, Bangladesh telah pulang ke tanah air.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tiada lagi anggota ATM yang bertugas di Cox’s Bazar selepas wabak COVID-19 melanda dunia.
“Kita memang ada menghantar seramai 56 anggota ATM ke Cox’s Bazar, tetapi kesemua mereka telah dipanggil balik Malaysia,
“Tidak ada lagi anggota ATM yang bertugas disana,” jelas Ismail Sabri katanya pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Putrajaya, hari ini.
Namun, beliau tidak menyatakan tarikh kepulangan mereka ke Malaysia.
Pada 20 Febuari lalu, ATM telah menghantar 56 petugas ATM ke Cox’s Bazar untuk meneruskan Tim Op Starlight 5 bagi memberi bantuan kemanusiaan dan perubatan kepada pelarian Rohingya di negara itu.
Kerajaan telah menghantar anggota tentera di Cox’s Bazar sejak 2017 bagi mendirikan dan memulakan pengoperasian Hospital Medan Malaysia di sana. Pasukan ini terdiri dari anggota ATM, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan MyCorps. -airtimes.my