SEOUL, 3 Jun – Kerajaan Korea Selatan dilaporkan akan memotong belanjawan pertahanan tahunan sebanyak USD 244.96 juta berikutan penularan wabak COVID-19.
Pemotongan sebanyak hampir 3.6 % dari keseluruhan belanjawan dibuat bagi menampung kesan ekonomi pasca wabak itu.
“Belanjawan yang akan dipotong adalah perbelanjaan perolehan senjata dan operasi tentera,” kata agensi Yonhap yang memetik sumber dalaman.
Antara perbelanjaan yang akan dipotong adalah perolehan peluru berpandu pertahanan udara Tentera Laut Korea Selatan dari Amerika Syarikat, pembinaan 20 buah kapal ronda dan fasiliti pertahanan.
Sementara itu, Kementerian Pertahanan Korea Selatan menegaskan pemotongan belanjawan adalah sebagai tindak balas terhadap ancaman bukan tradisional yang melanda negara itu.
“Langkah ini merupakan tindakan daripada pihak kementerian untuk mengatasi ancaman bukan tradisional demi keselamatan dan nyawa rakyat,
“Pemotongan perbelanjaan akan melibatkan projek yang bakal ditunda. Pada masa yang sama, impak terhadap tahap kesiagaan pertahanan dan kewangan adalah minumum,” kata Kementerian Pertahanan Korea Selatan.-airtimes.my