Home Semasa 240 PATI Indonesia dihalau dari Sabah

240 PATI Indonesia dihalau dari Sabah

by Air Times News Network

TAWAU, 3 Jun – Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah hari ini mengusir seramai 240 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia pulang ke negara asal.

Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah, Sharifah Siti Saleha Haibib Yussof berkata, 82 orang lagi PATI Indonesia akan diusir pada 5 Jun ini.

Menurut beliau, pengusiran melalui laut ini merupakan yang ke-15 dan ke-16 pada tahun 2020 melibatkan PATI warga Filipina dan Indonesia.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan pengusiran PATI sepanjang tahun ini seramai 3,753 orang termasuk PATI dari warganegara India, China, Pakistan dan Vietnam yang telah diusir melalui udara yang diuruskan oleh Jabatan Imigresen Malaysia Sabah (JIM Sabah),

“Jumlah pengusiran sejak tahun 1990 sehingga hari ini adalah seramai 594,920 orang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menambah, program khas penghantaran pulang PATI ini diselaraskan oleh MKN Sabah dengan kerjasama JIM Sabah dan dibantu Jabatan Kesihatan Negeri, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pelbagai agensi kerajaan lain.

Ujarnya lagi, tindakan pengusiran dibuat selari dengan situasi semasa dan keputusan kerajaan, sebelum diusir pulang semua tahanan menjalani ujian saringan COVID-19, selain penjagaan kebersihan diamalkan sepanjang proses pengusiran berlangsung selari dengan protokol kesihatan yang ditetapkan oleh kedua-dua negara.

“Tindakan penguatkuasaan terhadap PATI tetap diteruskan walaupun negara dilanda wabak COVID-19,” katanya. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!