KUALA LUMPUR, 30 Mei – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan selamat maju jaya kepada bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tun Dr Mahathir Mohamad yang memilih untuk terus bekerjasama dengan Pakatan Harapan.
“YB Tun bersama pengikutnya yang lain memilih untuk terus bekerjasama dengan Pakatan Harapan walaupun parti memutuskan sebaliknya. Jika itu pilihan YB Tun saya ucapkan selamat maju jaya,
“Tentunya kita berasa dukacita dengan pilihan yang dibuat Tun untuk tidak berada bersama-sama kita dalam wadah dan haluan perjuangan parti sepertimana yang telah diputuskan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi,
“Kita berdoa kepada Allah untuk memberikan kita semua segala kekuatan dalam menghadapi zaman yang sukar ini dengan penuh tabah dan beristiqamah serta dibimbing kita dengan segala tawfik dan hidayahnya,” kata Muhyiddin dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam kenyataan itu juga, Muhyiddin yang juga Presiden merangkap Pemangku Pengerusi BERSATU berkata Tun M bersama Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Datuk Amiruddin Hamzah dan Dr Maszlee Malik tidak dipecat daripada parti.
“Sebaliknya perbuatan mereka melanggar perlembagaan parti telah menyebabkan keahlian mereka terhenti dengan serta merta,
“Saya sendiri tidak mengambil tindakan terburu-buru walaupun terdapat banyak desakan supaya tindakan terhadap mereka diambil lebih awal,
“Saya mahu berlaku adil kepada semua pihak dan memastikan apa sahaja tindakan yang dibuat mestilah berlandaskan perlembagaan parti. Tiada mana-mana individu yang mengatasi perlembagaan parti,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau berharap ahli-ahli BERSATU dapat bersabar dan bertenang dalam menghadapi situasi ini.
“Saya yakin dan percaya BERSATU akan terus kukuh. Kita telah menghadapi banyak cabaran dari awal parti ini saya tubuhkan,
“Kita telah menempuh banyak duri dan ranjau dalam perjuangan. Yang penting kita tidak berjuang demi mana-mana individu, tetapi demi agama, bangsa dan negara,” katanya.
Beliau juga menyeru akan semua rapatkan saf bersamanya untuk terus perkukuhkan kerajaan yang telah ditubuhkan demi masa depan Malaysia yang lebih aman dan sejahtera. – airtimes.my