Home SemasaGlobal COVID-19: AS putuskan hubungan dengan WHO, dana dihentikan

COVID-19: AS putuskan hubungan dengan WHO, dana dihentikan

by Air Times News Network

WASHINGTON, 30 Mei – Presiden Donald Trump mengumumkan, beliau telah memutuskan hubungan Amerika Syarikat (AS) dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kerana gagal memaksa China untuk menangani penularan wabak pandemik COVID-19.

Trump juga mendakwa China sebenarnya mengawal sepenuhnya WHO.

Selepas ini menurut Trump, AS akan mengalihkan dana yang diperuntukkan kepada WHO ke badan kesihatan awam global lain di seluruh dunia.

“Kami (AS) hari ini (semalam), menghentikan hubungan dengan WHO dan mengarahkan dana tersebut dialihkan kepada badan kesihatan awam global yang lain,

“Dunia sekarang menderita akibat China yang berselindung mengenai ancaman virus berkenaan di Wuhan,” kata Trump seperti dilaporkan BBC.

Pada bulan lalu, Trump mengkritik cara WHO menangani COVID-19 yang dilihat gagal dalam tugas dasarnya.

Trump juga memberi amaran akan menarik balik semua dana yang diperuntukkan kepada WHO.

“Sudah jelas kesalahan anda dan organisasi dalam menanggani wabak COVID-19 di seluruh dunia,” kata Trump dalam satu surat kepada Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus pada 18 Mei lalu.

Beliau juga mendakwa WHO sebagai ‘boneka’ China.

Walau bagaimanapun, China juga mahu AS bertanggungjawab dalam memerangi wabak itu di negaranya sendiri dan jangan cuba mengalihkan kesalahan kepada pihak lain atas kelemahan dan tindak balas AS untuk memerangi wabak itu.

Awal bulan lalu, jurucakap Kementerian Luar China, Zhao Lijian berkata, Trump cuba mempengaruhi orang ramai dengan memburuk-burukkan China mengenai wabak berkenaan.

AS adalah penyumbang dana terbesar kepada WHO dengan memberikan peruntukan lebih daripada AS$400 juta pada tahun 2019. – airtimes.my

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!