PETALING JAYA, 29 Mei – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di ibu pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di sini hari ini.
Menerusi satu hantaran video di laman facebook rasminya, Tun M berkata beliau kini menunggu di pejabatnya untuk dipecat.
“Saya sekarang di Ibu Pejabat Bersatu, kata nak pecat, saya tunggu di pejabat,” katanya dalam hantaran itu.
Dalam masa sejam, video yang dimuatnaik itu telah mendapat lebih 12,000 sukaan dan 3,600 komen. Dalam video tersebut, dilihat Tun M sedang memasuki pejabatnya di ibu pejabat BERSATU.
Semalam, Tun M bersama empat lagi iaitu Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Dr Maszlee Malik dan Datuk Amiruddin Hamzah digugurkan keahlian mereka daripada BERSATU atas alasan duduk di bangku pembangkang ketika persidangan pembukaan Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu. – airtimes.my