SUBANG, 28 Mei – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah melaksanakan penerbangan ihsan membawa seorang bayi berusia 60 hari dari Kuala Terengganu ke Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, semalam.
TUDM dalam kenyataan berkata, bayi tersebut mengalami masalah jantung (severe coarctation of aorta and possible cornelia de lange syndrome) dan memerlukan rawatan segera di IJN.
“Bayi kepada Puan Azlinawati itu telah diterbangkan daripada Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu ke Pangkalan Udara Subang dengan menggunakan pesawat Charlie -130 Hercules (C-130H) dari No. 20 Skuadron,
“Pesawat yang diterbangkan oleh Mej Hamdi Tajuddin TUDM dan pembantu juruterbang, Mej Muhammad Izwanshah Azman TUDM mengambil masa lebih kurang 50 minit telah tiba di Pangkalan Udara Subang pada jam 12.50 tengahari semalam,
“Urusan penerbangan ihsan ini turut dibantu 6 anak kapal dan para petugas kesihatan,”katanya. – airtimes.my