Home Semasa Pusat Kuarantin Serdang rawat 484 pesakit COVID-19

Pusat Kuarantin Serdang rawat 484 pesakit COVID-19

by M.Daim

SERDANG, 20 Mei – Timbalan Pengarah 2 Non Klinikal Pusat Kuarantin  Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) Serdang, Kol (Dr) Mohd Arshil Moideen menjelaskan seramai 484 pesakit telah dirawat di fasiliti itu.

Menurut beliau, angka tersebut merangkumi bilangan pesakit yang dirawat semenjak kali pertama beroperasi pada April lalu.

“Sehingga kini, 255 pesakit telah dibenarkan pulang dari pusat kuarantin ini. Pada ketika ini, kami sedang merawat kira-kira 244 pesakit,” katanya kepada Air Times semasa ditemui di MAEPS, hari ini.

Arshil turut menjangkakan akan berlaku peningkatan bilangan pesakit yang akan dihantar ke pusat kuarantin itu dalam masa terdekat.

“Ini berikutan hospital-hospital lain mula menjalankan operasi normal iaitu menguruskan kes selain COVID-19,

“Selain itu, Pusat Kuarantin MAEPS Serdang merupakan antara pusat kuarantin beroperasi penuh pada ketika ini,” jelasnya.

Beliau menambah, pusat kuarantin ini bertanggungjawab untuk menerima pesakit COVID-19 kategori 1 dan kategori 2 dari sekitar Lembah Klang serta Negeri Sembilan.

“Pusat kuarantin ini mempunyai pesakit yang terdiri daripada warga tempatan serta warga asing,” katanya.

Terdahulu, Arshil bersama pihak pengurusan kuarantin hadir menyaksikan ketibaan satu unit kontena pendingin sepanjang 40 kaki di MAEPS, Serdang. Kontena yang tiba adalah disumbangkan oleh Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan kerjasama Bertling.

Kontena pendingin dan sejuk beku akan dioperasikan di pusat kuarantin ini sebagai tempat simpanan makanan.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!