PUTRAJAYA, 18 Mei – Tiada kes kematian baharu akibat wabak pandemik COVID-19 dilaporkan sehingga tengah hari tadi.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia kekal sebanyak 113 orang.
Beliau turut memaklumkan, sehingga hari ini, sebanyak 47 kes terbaharu COVID-19 dikesan dan penambahan itu menjadikan jumlah kes positif wabak berkenaan di Malaysia adalah sebanyak 6,941 kes.
“Daripada jumlah tersebut, 21 adalah dari kes import yang mendapat jangkitan di luar negara, manakala 26 kes merupakan penularan tempatan,
“Di mana 17 kes adalah bukan warganegara Malaysia, ” katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.
Dalam masa yang sama, Dr Noor Hisham berkata, seramai 13 kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 6 orang daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.
“Manakala seramai 44 orang telah sembuh dan dibenarkan keluar pada hari ini,
“Ini menjadikan jumlah pesakit yang telah discaj daripada hospital adalah seramai 5,615 kes (80.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),” jelas Dr Noor Hisham.