ALOR SETAR, 17 Mei – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, Muhammad Sanusi Md Nor dilantik sebagai Menteri Besar Kedah ke-14 mengantikan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.
Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim memaklumkan pelantikan Muhammad Sanusi telah mendapat perkenan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.
Terdahulu, beliau memaklumkan bahawa Sultan Kedah sudah mengadakan perjumpaan dengan semua ADUN pada 15 Mei lepas dan baginda mendapati bahawa Mukhriz tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ADUN.
“Baginda telah perkenan menerima peletakan jawatan Datuk Seri Mukhriz sebagai menteri besar serta Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) pada hari ini selaras dengan Perkara 37(6) Undang-undang Tubuh Kerajaan Kedah,
“Lanjutan peletakan jawatan tersebut, baginda telah perkenan untuk melantik ADUN Jeneri sebagai Menteri Besar Kedah baharu yang telah mendapat kepercayaan majoriti ADUN,
“Pelantikan ini mengikut peruntukan di bawah Perkara 35 dan 37(2)(a) Undang-undang Tubuh Kerajaan Kedah,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Menurutnya, majlis pelantikan Menteri Besar Kedah ke-14 akan diadakan pada hari ini di Pejabat Sultan Kedah, Wisma Darul Aman. – airtimes.my