PUTRAJAYA, 14 Mei – Sebanyak 4 tapak pembinaan diarahkan tutup atas kesalahan melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata hasil pemeriksaan Bilik Gerakan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), mendapati 8 tapak pembinaan turut tidak mematuhi SOP yang di tetapkan oleh kerajaan dalam menangani wabak pandemik COVID-19.
“CIDB telah melaporkan sebanyak 191 tapak binaan telah diperiksa semalam (13 Mei 2020). Hasil pemeriksaan mendapati 28 daripadanya mematuhi SOP manakala 155 tidak beroperasi,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri Mengenai PKPB, di Putrajaya, hari ini.
Ismail Sabri menjelaskan, jumlah kumulatif tapak binaan yang telah diperiksa adalah 3,735, yang mana 344 tapak didapati patuh SOP manakala 122 tapak tidak patuh SOP dan telah diberi amaran.
“Antara syarat utama sebelum tapak binaan dibenarkan beroperasi adalah untuk memastikan adanya Pegawai Keselamatan dan Kesihatan (Safety Officer),” jelas Ismail Sabri.
Dalam masa yang sama, Ismail Sabri turut menjelaskan kerajaan telah membuat keputusan untuk membenarkan pengubahsuaian dan pembaikan dilakukan di kediaman berstrata dan bertingkat (high-rise).
“Kepada pengurus bangunan-bangunan bertingkat ini, mereka perlu memberikan kebenaran kepada kontraktor untuk pengubahsuaian serta membaik pulih kerosakkan di unit-unit bangunan tersebut,
“Ia dibenarkan tetapi kontraktor tersebut mestilah mematuhi setiap SOP yang dikeluarkan sama ada melalui CIDB, Majlis Keselamatan Negara (MKN) atau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),
“SOP berserta soalan lazim sektor pembinaan boleh dirujuk melalui laman web Kementerian Kerja Raya serta MKN,’ tambahnya lagi.- airtimes.my