ISKANDAR PUTERI, 14 Mei – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar bertitah mengingatkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Johor bahawa sekarang bukan masa untuk bertegang urat dan bertikam lidah bagi mencari pengaruh politik atau kepentingan peribadi.
Baginda bertitah, tindakan sedemikian hanya akan melahirkan satu virus yang lebih berbahaya iaitu virus perpecahan.
“Virus ini nampaknya telah pun menular dalam kalangan pemimpin politik apabila berlakunya pergolakkan dan perebutan kuasa yang merungsingkan rakyat serta mengugat kestabilan politik dan pembangunan ekonomi negara,
“Mereka yang dijangkiti virus ini akan lupa diri dan tidak akan pedulikan tentang kepentingan rakyat, asalkan mereka dapat apa yang dikejar untuk kepentingan diri,” titah Sultan Johor dalam hantaran Facebook rasminya.
Sultan Johor bertitah demikian ketika berangkat merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Yang Ke-14 di Bangunan Dewan Negeri, Kota Iskandar, Iskandar Puteri, hari ini.
Menurut Baginda, virus itu mudah merebak melalui saluran media sosial yang bebas dengan dibantu oleh agen media dan ‘cyber troopers’. Ia menjadi batu api dengan membangkitkan isu sensasi untuk menambah api kebencian dalam kalangan pemimpin politik dengan rakyat.
“Saya berharap virus perpecahan ini dapat dibendung bagi mengekalkan keharmonian dan perpaduan hidup rakyat yang telah kita bina selama ini,
“Saya menyeru semua ADUN berganding bahu membantu rakyat yang sedang susah akibat terkesan dengan wabak COVID-19,” titah Baginda.-airtimes.my