PUTRAJAYA, 13 Mei – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan 37 kes baharu akibat jangkitan wabak pandemik COVID-19 dilaporkan setakat tengah hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah tersebut, 21 kes adalah di kalangan bukan warganegara Malaysia dan sekali gus mencatatkan jumlah keseluruhan kes positif wabak berkenaan dalam negara sebanyak 6,779 kes.
Beliau berkata empat kes baharu itu adalah kes import, manakala 33 kes membabitkan penularan dalam komuniti.
“Jumlah kes aktif (positif COVID-19) dengan kebolehjangkitan adalah seramai 1,387 pesakit,
“Seramai 16 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah tersebut, 4 kes memerlukan bantuan pernafasan,” jelas Dr Noor Hisham.
Beliau turut memaklumkan dua kematian direkodkan hari ini dan menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di negara sebanyak 111 kes (1.64 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).
“Kes kematian ke-110 (kes ke-6,743) merupakan seorang lelaki warganegara Malaysia berusia 30 tahun yang ditemui mati di Rompin, Pahang,
“Keputusan ujian sampel COVID-19 diambil semasa bedah siasat didapati positif pada 12 Mei 2020. Kes di bawah siasatan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pejabat Kesihatan Rompin dengan punca jangkitan belum dikenalpasti serta masih dalam siasatan,” katanya.
Manakala kes kematian ke-111 (kes ke-5,195), Dr Noor Hisham berkata pesakit adalah lelaki warganegara Malaysia berumur 90 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi dan penyakit kronik pernafasan.
“Beliau dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Johor pada 16 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 10.36 pagi 13 Mei 2020,” tambahnya.- airtimes.my