Home Politik Kerajaan PH Kedah tumbang, 4 ADUN Bersatu sokong PN

Kerajaan PH Kedah tumbang, 4 ADUN Bersatu sokong PN

by Air Times News Network

ALOR SETAR, 12 Mei – Perikatan Nasional (PN) Negeri Kedah mengumumkan pembentukan kerajaan negeri baharu menerusi gabungan PAS, UMNO, Bersatu dan Bebas selepas memperoleh bilangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mencukupi.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata 23 ADUN telah hilang kepercayaan kepada kepimpinan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar.

“23 ADUN tersebut adalah merupakan 15 dari PAS, 2 UMNO, 2 bekas ADUN PKR dan 4 dari Bersatu,

“Dengan kehilangan kepercayaan ke atas kepimpinan tersebut, kerajaan Pakatan Harapan (PH) Kedah telah jatuh dan hilang keabsahan kuasa selaku kerajaan negeri berkuatkuasa serta merta,

“Justeru atas kesepakatan bersama, 19 daripada 23 ADUN yang hadir hari ini bersetuju untuk membentuk kerajaan negeri Kedah yang baharu atas nama Perikatan Nasional (PN),” katanya pada sidang media khas hari ini.

Sebelum itu, ADUN Lunas, Azman Nasrudin dan ADUN Sidam, Dr Robert Ling Kui Ee dari PKR telah mengumumkan keluar parti serta merta.

“Mereka mengisytiharkan keluar dari PKR ekoran hilangnya kepercayaan terhadap Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim,

“Kedua-dua mereka menegaskan Anwar dilihat mempunyai kepentingan peribadi untuk menjadi Perdana Menteri mengatasi agenda parti,” katanya.

Pada masa yang sama, mereka turut menyatakan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Kami keluar sebagai calon Bebas dan kini mesra dengan parti Bersatu,” ujarnya.

Selain itu, Muhammad Sanusi berkata pembentukan pentadbiran kerajaan baharu ini mendapat sokongan dari 4 ADUN dari Bersatu iaitu ADUN Ayer Hangat, Juhari Bulat, ADUN Kuah, Mohd Firdaus Ahmad, ADUN Bukit Kayu Hitam, Halimaton Saadiah Saad dan ADUN Guar Chempedak, Datuk Wira Ku Abdul Rahman Ku Ismail.

Ketika ini, PAS dan UMNO mempunyai 17 kerusi DUN Kedah, 2 Bebas dan tambahan 4 kerusi dari Bersatu menjadikan jumlah dimiliki gabungan itu adalah 23 kerusi sudah mencukupi bagi pembentukan kerajaan negeri baharu. – AirTimes

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!