SELAYANG, 11 Mei – Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di zon Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Pasar Borong Kuala Lumpur dan Flat Sri Murni hari ini dikejutkan dengan operasi oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Operasi yang dijalankan secara mengejut bermula seawal jam 8.30 pagi tadi melibatkan pelbagai agensi termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).
Difahamkan operasi ini bertujuan mengesan dan menyemak dokumen warga asing yang menetap di kawasan itu.
Sebelum ini, operasi yang sama turut dilaksanakan di kawasan PKPD Jalan Masjid India.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, operasi terbabit diketuai sepasukan pegawai dan anggota Imigresen dengan kerjasama polis.
“Polis dan beberapa agensi lain membantu dari segi keselamatan,” katanya kepada media
Menurut sumber, hampir 250 orang setakat ini ditahan kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang lengkap termasuk pemegang kad UNHCR palsu.
Mereka telah ditahan dan dibawa ke depoh Imigresen untuk siasatan lanjut.
Sehingga kini, tiada sebarang kenyataan dikeluarkan oleh pihak JIM.
1 comment
[…] Artikel berkaitan: Imigresen gempur PATI di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur […]