Home Semasa COVID-19: Kawasan sekitar Pasar Jalan Othman diisytiharkan PKPD ke-8 berkuatkuasa hari ini

COVID-19: Kawasan sekitar Pasar Jalan Othman diisytiharkan PKPD ke-8 berkuatkuasa hari ini

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 10 Apr – Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan kerajaan telah mengambil keputusan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKPD) di kawasan Pasar Jalan Othman (PJO) di Petaling Jaya, berkuatkuasa 10 Mei hingga 23 Mei 2020.

Beliau berkata keputusan PKPD di kawasan itu dibuat atas nasihat Menteri Kesihatan.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesahkan terdapat 26 kes positif COVID-19 yang berpotensi memberi risiko penularan jangkitan di kawasan PJO, Petaling Jaya, Selangor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Antara kawasan yang dilaksanakan PKPD ke-8 adalah:

Zon A :
Jalan Penchala, Petaling Jaya
Jalan 4/33, Petaling Jaya
Jalan 4/37, Petaling Jaya
Jalan 4/39, Petaling Jaya
Jalan 4/41, Petaling Jaya
Jalan 4/44, Petaling Jaya
Jalan Terus 4/42, Petaling Jaya
Jalan 4/43, Petaling Jaya
Jalan 4/46, Petaling Jaya
Jalan Othman 4/4D, Petaling Jaya

Zon B :
Jalan 2/29, Petaling Jaya
Jalan 2/29A, Petaling Jaya
Jalan 2/27, Petaling Jaya
Jalan 2/32, Petaling Jaya
Jalan 2/25, Petaling Jaya
Jalan 2/26, Petaling Jaya
Jalan 2/34, Petaling Jaya
Jalan 2/34A, Petaling Jaya
Jalan 2/23, Petaling Jaya
Jalan Dispensary 2/38, Petaling Jaya
Jalan Pasar 1/21, Petaling Jaya

Zon C :
Jalan Selangor, Petaling Jaya
Lorong 3/57D, Petaling Jaya
Lorong 3/57C, Petaling Jaya
Jalan RIDA 3/56, Petaling Jaya
Jalan Sentosa 3/57, Petaling Jaya

Peta kawasan yang terbabit dengan tindakan PKPD sekitar PJ Oldtown mulai hari ini hingga 23 Mei depan.

Menurut Ismail Sabri, perintah PKPD ini melibatkan kira-kira 2,900 penghuni kediaman dan premis perniagaan di kawasan berkenaan.

“Tujuan PKPD dilaksanakan adalah untuk membendung jangkitan COVID-19 daripada menular keluar,” tegasnya.

Dengan pelaksanaan perintah ini, Ismail Sabri berkata, semua penghuni tidak dibernarkan keluar dari kawasan PKPD sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan.

“Bukan penghuni dan pelawat tidak dibenarkan masuk ke kawasan tersebut sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan,

“Semua aktiviti perniagaan dihentikan di kawasan tersebut; Pangkalan Perubatan (Medical Base) dibuka di kawasan PKPD, dan semua laluan keluar masuk kawasan PKPD akan ditutup,” ujarnya.

Semua aktiviti perniagaan dihentikan di kawasan tersebut. Foto: AirTimes/ M.Daim

Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan mengawal seluruh kawasan itu bagi memastikan pematuhan perintah ini.

“Bagi pelaksanaan perintah ini, semua penghuni diminta untuk bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada para petugas dari KKM serta mematuhi semua arahan pihak berkuasa,

“Penghuni yang memerlukan bantuan atau mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi Bilik Gerakan PKP Petaling Jaya di talian 016-980 9389, atau Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-7966 2222,” katanya.

Tinjauan krew AirTimes di lokasi mendapati proses pemasangan pagar kawat duri telah dilaksanakan oleh anggota Tentera Darat sejak malam tadi dan turut dibantu oleh anggota polis yang membuat kawalan di kawasan berkenaan.-AirTimes

Kerja pemasangan pagar kawad duri dilaksanakan oleh anggota Tentera Darat Malaysia di sekitar Pasar Besar Jalan Othman, Petaling Jaya sejak malam tadi.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!