Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat ATM kepung, kawal pergerakan warga asing di Selayang

ATM kepung, kawal pergerakan warga asing di Selayang

by Nurulhuda

SELAYANG, 7 Mei – Hampir kesemua kawasan di Taman Wilayah, Selayang telah dipasang dengan kawat duri untuk mengawal pergerakan keluar masuk warga asing yang dikhuatiri mempunyai simptom-simptom wabak COVID-19.

Panglima 12 Briged Infantri, Brigadier Jeneral Datuk Marzuki Mokhtar, berkata rata-rata penduduk di sini adalah warga asing yang bekerja di Pasar Borong Kuala Lumpur (PBKL).

Anggota PDRM dan ATM sedang bertugas di laluan yang ditetapkan bagi mengawal pergerakan keluar masuk penduduk di Taman Wilayah. Foto: AirTimes/Azuwan

“Kita masih menunggu keputusan dari pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang telah membuat saringan persempelan terhadap warga asing ini,

“Seperti mana yang kita sedia maklum, PBKL diisytiharkan sebagai kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berikutan ramai yang dikesan positif COVID-19,” jelas Marzuki ketika ditemui pemberita.

Kita tidak laksanakan PKPD, tetapi kita mengawal dengan kawalan yang lebih ketat untuk terus memperkasakan PKP di kawasan ini – Panglima 12 Briged Infantri, Brig Jen Datuk Marzuki Mokhtar. Foto: AirTimes/Azuwan

Menurut beliau, ATM sentiasa komited dalam melaksanakan hasrat kerajaan untuk mengawal pergerakan agar pembawa virus ini tidak terus membawa wabak berkenaan ke tempat lain.

Pagar kawat berduri dipasang di sekitar Taman Wilayah, Kuala Lumpur untuk mengawal pergerakan warga asing di kawasan berkenaan. Foto: AirTimes/Azuwan

“Kita tidak laksanakan PKPD kerana kita masih menunggu jumlah sebenar mereka yang positif COVID-19. Kita membuat kawalan yang lebih ketat untuk terus memperkasakan PKP di kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata seramai 159 anggota lain-lain pangkat (LLP) dari Batalion Pertama Renjer Diraja (1 RRD) telah ditugaskan untuk proses pemasangan pagar kawat duri seluas 2.4 kilometer ini pada 4 Mei lalu.

Pemasangan pagar kawat duri oleh Batalion Pertama Renjer Diraja (1 RRD) pada 4 Mei 2020. Foto: AirTimes/Azuwan

“Ini juga salah satu cara untuk memantau dan mengesan mereka (warga asing) yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah, sekaligus dapat membendung kebanjiran warga asing dari terus menetap secara haram di negara ini,

“Hanya mereka yang menunjukkan dokumen pengenalan diri yang lengkap dibenarkan keluar. Sekiranya mereka (warga asing) ini tidak menunjukkan dokumen yang lengkap, mereka akan terus diserahkan kepada agensi yang berwajib untuk tindakan seterusnya,” tegasnya lagi.

Anggota PDRM dan ATM membuat pemeriksaan dokumen pengenalan diri kepada semua penghuni yang melalui laluan berkenaan. Foto: AirTimes/Azuwan.

Sehingga ke hari ini, tambah Marzuki, ATM tidak menerima sebarang laporan berkaitan cubaan warga asing yang ingin membolosi kawasan berkenaan.

Menyentuh tentang penglibatan anggota sepanjang pelaksanaan PKPB, Marzuki menjelaskan masih tiada keperluan dari pihaknya untuk menambah keanggotaan memandangkan ATM dan PDRM sentiasa bekerjasama melaksanakan PKPB.

Anggota tentera sedang membetulkan pagar kawat duri yang kelihatan tidak kemas. Foto: AirTimes/Azuwan

“Cukup dengan jumlah yang ada sekarang, kami yakin anggota mampu melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan sebaik mungkin dan sekaligus memenuhi objektif yang kita gariskan,”kata Marzuki.

Dalam masa yang sama, Marzuki turut menegaskan ATM sentiasa bersedia untuk membantu Jabatan Imigresen dan agensi-agensi lain yang terlibat dalam membenteras kebanjiran Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ke negara ini.

Semua warga asing membuat saringan COVID-19. Foto: AirTimes/Azuwan

Beliau menjelaskan, anggota tentera akan memberi sokongan yang penuh kepada agensi yang memerlukan sekiranya mendapat arahan dari pucuk pimpinan tertinggi.

“Sebagai anggota tentera kita sentiasa bersedia. Sekiranya ada keperluan tersebut dan mendapat kebenaran dari pihak atasan, maka kami akan melaksanakan tanggungjawab berkenaan,

“Buat masa ini, kami ditugaskan untuk menjaga dan memantau kawasan perimeter supaya tidak dibolosi,

Kementerian Kesihatan Malaysia membuat ujian saringan COVID-19 ‘swab test’ terhadap warga asing di Pasar Borong Kuala Lumpur. Foto: AirTimes/Azuwan

“Saya yakin secara tidak langsung, ATM telah membantu agensi lain dalam proses menangani isu kemasukan PATI ini. Dengan peranan dan tanggungjawab agensi masing-masing, kita mampu menyelesaikan masalah ini,” jelasnya. – AirTimes

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!