Home PolitikPakatan Harapan Armada Perak, Sabah dan Terengganu tolak BERSATU kembali berkerjasama dengan PH

Armada Perak, Sabah dan Terengganu tolak BERSATU kembali berkerjasama dengan PH

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 7 Mei – Armada Bersatu Perak, Sabah dan Perak tidak menyokong dengan pendirian Armada Pusat untuk kembali bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

Ketua Armada Bersatu Perak, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh berkata pihaknya menyokong penuh kepimpinan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri yang memimpin kerajaan Perikatan Nasional.

Menurut Mohd Hafez, Armada Bersatu Perak juga menyokong atas segala usaha Muyiddin dalam memperkukuhkan Kerajaan Perikatan Nasional.

“Armada Bersatu Perak juga mahu menyatakan bahawa pengkhianat kepada Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad adalah Pakatan Harapan (PH) yang didokongi oleh PKR, DAP dan Amanah,

“Ketika parti Bersatu bersama dalam gabungan PH, kebanyakan pemimpin ketiga-tiga parti ini terutamanya DAP dan PKR tidak berhenti-henti mendesak Tun Dr Mahathir meletakkan jawatan Perdana Menteri yang disandangnya ketika itu,” katanya dalam kenyataan bersama Ketua Armada Bersatu Bahagian Perak hari ini.

Dalam kenyataan itu juga berkata, PH juga diperingkat awalnya mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri, namun membuat ‘U-turn’ menyokong kembali Tun M setelah melihat sokongan terhadap Anwar sebagai calon Perdana Menteri tidak mencukupi dan amat lemah.

Beliau berkata antara bukti jelas pengkhianatan parti komponen PH terhadap Bersatu ialah rakaman video seorang Ahli Dewan Undangan Negeri DAP Perak yang membuat rancangan jahat untuk menjatuhkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

“Justeru itu, Armada Bersatu Perak menolak sebarang usaha pihak tertentu untuk mengadakan kerjasama semula bersama PH,

“Armada Bersatu Perak berikrar akan terus bekerja kuat untuk Bersatu dan Kerajaan Perikatan Nasional,” ujarnya.

Terdahulu Ketua Armada Bersatu Sabah, Isquzawan Israq Arsit berkata mereka menolak sekeras-kerasnya pendirian Armada Pusat untuk kembali berkerjasama dengan PH, kerana ramai ketua Armada bahagian tidak diberitahu mengenai hasrat tersebut.

“Pendirian Armada Sabah ialah tidak bersetuju. Ia bukan diputuskan dalam Mesyuarat Khas Exco Armada Pusat, sebaliknya mesyuarat khas yang dinyatakan dalam kenyataan media Armada Bersatu Malaysia itu sebenarnya merupakan Mesyuarat Penyelarasan Agihan Bantuan Armada Bersempena Ramadan 2020 dan Perjumpaan Bersama Pengerusi Bersatu,” katanya.

Perkara ini juga tidak dipersetujui oleh Armada Bersatu Terengganu, Ketuanya Syaiful Irfan Anang berkata pendirian mereka tetap bersama Presiden Parti selain tidak mahu bermusuh dengan mana-mana parti yang menyokong Perikatan Nasional. – AirTimes

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!