Home Politik PKPB: Pakatan Harapan gesa kerajaan jalankan sidang Parlimen penuh

PKPB: Pakatan Harapan gesa kerajaan jalankan sidang Parlimen penuh

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 4 Mei – Pakatan Harapan hari ini menggesa kerajaan menjalankan sidang Parlimen penuh dengan menambah jumlah hari persidangan sekurang-kurangnya 2 minggu.

Ia adalah susulan keputusan kerajaan yang melonggarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai hari ini.

Pakatan Harapan, BERSATU dan Warisan dalam kenyataan bersama berkata keputusan tersebut memperlihatkan bahawa pada perkiraan kerajaan, wabak COVID-19 semakin terkawal dan beberapa aktiviti boleh dijalankan dengan syarat ia menepati Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

“Bagi maksud perjalanan sidang Parlimen, SOP ini antara lain termasuk penjarakan sosial, memakai pelitup muka, serta melakukan saringan COVID-19 bagi ahli-ahli Parlimen,

“Memandangkan Parlimen telah memutuskan SOP bagi membolehkan persidangan pada 18 Mei diadakan dengan banyak aktiviti sudah mula dibenarkan bersyarat, maka sebenarnya tiada alasan atau halangan bagi Parlimen untuk bersidang penuh lebih dari sehari yang telah diumumkan,

“Persidangan yang lebih panjang akan membolehkan perbahasan isu yang lebih mendalam, serta membolehkan ahli Jemaah Menteri melaksanakan agenda legislatif Kementerian masing-masing,” tambah kenyataan itu lagi.

Kenyataan tersebut dibuat bersama antara Presiden AMANAH, Mohamad Sabu; Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden DAP, Lim Guan Eng; Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad; dan Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan memaklumkan sidang Parlimen yang dijadualkan berlangsung pada 18 Mei 2020 tetap diadakan sehari sahaja.

Beliau berkata tempoh sehari persidangan itu mengambil kira pendirian kerajaan bahawa sebarang bentuk perhimpunan ramai masih belum sesuai diadakan pada masa ini dalam rangka mengurangkan risiko jangkitan COVID-19. – AirTimes

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!