Home Semasa Masih ada berdegil cuba bolos pagar dawai PKPD Selayang Baru

Masih ada berdegil cuba bolos pagar dawai PKPD Selayang Baru

by Nurulhuda

SELAYANG, 1 Mei – Setelah hampir seminggu Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sekitar Selayang Baru, Gombak dikuatkuasakan, masih juga terdapat individu yang berdegil untuk membolosi pagar dawai yang telah dipasang di kawasan berkenaan.

Meskipun pihak penguatkuasa sentiasa memantau kawasan berkenaan dengan kawalan yang ketat, namun ada segelintir individu masih memandang enteng dengan arahan kerajaan untuk sama-sama memerangi wabak pandemik COVID-19 yang menular di negara ini.

Menurut seorang penduduk di sekitar kawasan berkenaan, Sulaiman Abas, berkata penguatkuasaan PKPD yang dikenakan adalah amat baik untuk mengekang wabak berkenaan, tetapi masih juga ada segelintir penduduk yang masih berdegil dengan tidak mematuhi arahan pihak kerajaan.

“Memang semua akan ada masalah sekiranya PKPD dilanjutkan. Arahan kawalan itu bagus tetapi masih ramai yang keluar tanpa menghiraukan arahan,

“Saya tak boleh kata apa, saya beli barang sahaja. Tetapi mereka orang berniaga, kena menjual dan keluar dari rumah,” jelasnya kepada pemberita.

Arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan itu bagus tetapi masih ramai yang keluar tanpa menghiraukan arahan tersebut – Sulaiman Abbas penduduk Selayang Baru. Foto: AirTimes/Azuwan.

Sulaiman yang juga merupakan bekas anggota tentera berkata, beliau akur dan memahami  tugas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menjalankan tugas masing-masing.

“Tapi ada penduduk tidak ikut undang-undang. Sepatutnya mereka perlu ikut undang–undang dan peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan.Jika ikut peraturan, keselamatan (kawalan mengekang wabak COVID-19) baru ada,

“Masalah mereka ini ada yang tak dengar arahan. Kalau masa zaman saya dulu,  ada kawasan tentera jaga, memang akan tegas dan tak boleh keluarlah, macam peristiwa 13 Mei. Tentera jaga 24 jam,

“Bila ada pagar macam ini, risau juga ada yang berdegil dan akan keluar. Tapi syukur ada polis, tentera yang jaga,” jelas Sulaiman.

Sulaiman menegaskan, kerajaan sekarang masih bertimbang rasa dengan memberikan kelonggaran kepada rakyat dimana masyarakat masih boleh membeli barang keperluan dan keluar mengikut arahan ditetapkan.

“Semuanya terpulang kepada kesedaran individu itu sendiri, kena bertanggungjawab dan jangan ambil kesempatan sehingga menyusahkan orang lain,” tambahnya lagi.

Beliau juga mengingatkan penduduk di kawasan Selangor Baru untuk sama-sama memainkan peranan masing-masing bagi mengakhiri masalah wabak ini.

Tinjauan Air Times di sekitar Zon D yang merangkumi Jalan 3,5, 7 dan 9 disini mendapati terdapat juga penduduk yang ingin melalui jalan tersebut tetapi dilarang oleh anggota polis, tentera dan RELA yang bertugas.

Terdapat juga penduduk yang ingin melalui jalan tersebut tetapi dilarang oleh anggota polis, tentera dan RELA yang bertugas. Foto: AirTimes/Azuwan.

Terdapat juga anggota tentera yang bertugas menggunakan teropong dan ditempatkan di atas salah satu bangunan untuk memantau pergerakkan penduduk setempat di kawasan berkenaan.

Anggota tentera yang bertugas ditempatkan di atas salah satu bangunan untuk memantau pergerakkan penduduk setempat di kawasan berkenaan.Foto: AirTimes/Azuwan.

Kami juga berkesempatan meninjau pelaksanaan pengunaan dron oleh anggota tentera untuk mengawasi pergerakan penduduk dari udara.

Pengunaan dron oleh anggota tentera untuk mengawasi pergerakan penduduk dari udara di kawasan PKPD Selayang Baru. Foto: AirTimes/Azuwan.

Sementara itu, kelihatan juga individu yang ingin menyerahkan barangan keperluan mereka yang dihantar melalui pusat operasi. Setelah mengambil maklumat individu penyerah dan penerima, petugas yang bertugas mengiringi individu tersebut membuat penyerahan kepada keluarga mereka.

Anggota tentera memeriksa barangan yang ingin diserahkan kepada penduduk di kawasan PKPD. Foto: AirTimes/Azuwan.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan kesemua badan bukan kerajaan (NGO) dan individu perseorangan yang ingin menghulurkan bantuan keperluan kepada penduduk di kawasan PKPD untuk menghantar barangan tersebut ke pusat operasi yang terdapat dikawasan berkenaan.

Beliau menjelaskan langkah tersebut bertujuan untuk menyelaraskan kesemua agihan serta menghadkan pergerakan orang luar memasuki kawasan berkenaan.

PKPD di Selayang Baru telah dikuatkuasakan pada 25 April sehingga 3 Mei 2020, merangkumi Zon A iaitu Jalan Indah 3 dan Jalan Indah 5A, Selayang Indah; Zon B (Jalan Indah 21, Lembah Indah, Selayang Baru) dan Zon C (Jalan Besar Selayang Baru, Jalan 1 dan Jalan Indah 21, Selayang Baru).

Selain itu, Zon D (Jalan 3, 5, 7 dan 9, Selayang Baru); Zon E (Jalan 2, 4, 6 dan 8, Selayang Baru) dan Zon F (Blok A, B dan C, Selayang Makmur).- AirTimes

 

 

Related Articles

1 comment

Pagar dawai PKPD Selayang Baru cuba dibolosi mereka yang degil – Berita Online 2 May 2020 - 1:47 pm

[…] Sumber Tepat : AirTimes […]

Reply

Leave a Reply

error: Content is protected !!