KUALA LUMPUR, 30 Apr – Kesemua badan bukan kerajaan (NGO) dan individu perseorangan yang ingin menghulurkan bantuan keperluan kepada penduduk di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) disarankan untuk menghantar barangan tersebut ke pusat operasi yang terdapat dikawasan berkenaan.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan ia bertujuan untuk menyelaraskan agihan agar kesemua penduduk di kawasan berkenaan menerima bantuan yang dihulurkan dengan sama rata.
“NGO yang ingin memberikan makan kepada penduduk di kawasan PKPD harus menghantar ke pusat-pusat operasi yang dibuka di setiap PKPD tersebut,
“Dan melalui pusat operasi, barangan tersebut akan diedarkan oleh petugas barisan hadapan yang bertugas dikawasan berkenan,
“Ia bertujuan agar pemberian barangan tersebut dapat dipantau dari masa ke semasa,” jelasnya semasa sidang media harian di Putrajaya, hari ini.
Beliau menjelaskan pernah melihat sendiri dan dimaklumkan oleh NGO yang menghantar barangan keperluan terus ke kediaman penduduk yang terlibat namun, penduduk tersebut sudah menerima bantuan harian dari individu lain.
“Sekiranya NGO menghantar barang makanan secara persendirian dan tidak melalui pusat operasi, sudah pasti pusat operasi tidak mengetahui penduduk mana yang sudah menerima atau belum menerima bantuan,
“Jadi mungkin ada penduduk yang tidak menerima bantuan harian dan ada juga yang dapat secara berlebihan,
“Saya mencadangkan hantar melalui pusat operasi, supaya pusat operasi dapat mengagihkan barangan secara sama rata kepada penduduk-penduduk yang terjejas,” tambah Ismail Sabri. – AirTimes