KUALA LUMPUR, 29 Apr – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengesahkan 72 daripada 94 kes baharu positif COVID-19 adalah melibatkan kes import warganegara dan pelajar Malaysia yang pulang daripada Indonesia.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes penularan tempatan adalah hanya 22 kes sahaja.
“Terdapat 94 kes baharu jangkitan wabak pandemik COVID-19 yang dilaporkan sehingga tengah hari tadi. Ia menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 5,945 kes,
“Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah sebanyak 1,758 kes dan telah diasingkan serta diberi rawatan,
“Jumlah pesakit yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah seramai 40 orang dan 18 daripada jumlah tersebut memerlukan bantuan alat pernafasan,”kata Dr Noor Hisham pada sidang media perkembangan semasa COVID-19 di Putrajaya, hari ini.
Berhubung kes pesakit sembuh dan discaj pada hari ini, beliau menjelaskan 55 kes telah dilaporkan. Ia menjadikan jumlah keseluruhan pesakit yang telah sembuh dan dibenarkan keluar sebanyak 4,087 kes.
Dr Noor Hisham turut menjelaskan tiada sebarang kes kematian COVID-19 dilaporkan kepada Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Kebangsaan sehingga pukul 12 tengah hari tadi.
“Ini menjadikan jumlah kematian akibat wabak itu kekal sebanyak 100 kes kematian,” tambahnya lagi.