PUTRAJAYA, 28 Apr – Kerajaan akan membentangkan Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam masa yang terdekat untuk memberi kelonggaran kepada penduduk di kawasan yang diisytiharkan sebagai zon hijau.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) kini sedang dalam peringkat terakhir bagi menyiapkan SOP yang lebih lengkap berkenaan perkara tersebut.
“Sekiranya kawasan tersebut diisytiharkan sebagai zon hijau, namun SOP tetap perlu dipatuhi,
“Sebagai contoh, penduduk di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang tertutup atau ‘gated area’, dan seperti kawasan universiti,
“Keseluruhan penduduk di PPR tersebut setelah sebulan lebih tidak dibenarkan keluar, tidak ada gejala pun dalam kalangan mereka, jadi mungkin kita akan benarkan mereka keluar untuk membawa anak ke bawah,
“Namun, mereka tidak boleh keluar dari kawasan perumahan itu. Kami akan keluarkan SOP, mungkin mereka hanya boleh keluar mengikut blok atau masa yang ditentukan. Ini semua sedang dirangka oleh MKN,
“Kita juga sedang mendapatkan input diseluruh kementerian supaya SOP yang dikeluarkan menyeluruh meliputi semua kementerian,” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya, hari ini.
Beliau yakin SOP yang sedang dikaji MKN bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan di muktamadkan minggu hadapan.