Home Semasa Isu pelarian Rohingya perlu dilihat menyeluruh, bukan secara serpihan

Isu pelarian Rohingya perlu dilihat menyeluruh, bukan secara serpihan

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 27 Apr – Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini menegaskan isu semasa yang melibatkan pelarian Rohingya perlu dilihat dengan cara yang menyeluruh, bukan secara serpihan.

Beliau berkata dunia pernah menghadapi isu Palestin, Kashmir, Bosnia dan lain-lain, bukan sahaja isu Rohingya yang mencetuskan krisis antarabangsa yang tidak ditangani secara konsisten.

“Keadaan begitu berlaku apabila ia tidak dipandang dari sudut hak beragama, hak berperikemanusiaan dan hak berpolitik yang tidak boleh dilihat dari aspek pelarian semata-mata,

“Dahulunya isu Palestin yang tidak selesai sehingga hari ini, walaupun puncanya sangat zalim apabila tanah air dirampas daripada penduduk asal bagi menubuhkan negara haram Yahudi yang sudah hilang dalam lipatan sejarah,” katanya dalam minda Presiden PAS menerusi laman facebook rasminya.

Menurutnya, kuasa besar dunia yang dipengaruhi politik Zionis bertindak menjelmakannya semula bagi melaksanakan agenda impian Zionis yang sangat zalim.

“Tindakan tersebut telah mencetuskan krisis pelarian yang berlarutan dan belum selesai, di samping meneruskan kezaliman berlesen daripada PBB terhadap rakyat Palestin sehingga kini,

“Isu Kashmir juga terus berlarutan tanpa mempedulikan kepada Resolusi PBB supaya diadakan referendum bagi menuntut hak majoriti rakyat, tetapi dinafikan dengan keras dan kejam tanpa dipedulikan, kemungkinan kerana mereka penganut Islam,” tegasnya.

Mengenai isu Bosnia pula terpaksa diselesaikan apabila menghadapi kekalahan kerana keberanian rakyatnya yang berjuang, tetapi dibelenggu dengan syarat-syarat ditetapkan oleh perjanjian yang menetapkan dasar sekular bagi menghalang kebangkitan politik Islam di Eropah.

“Arakan adalah wilayah kaum muslimin Rohingya sejak beberapa abad yang lalu menjadi penduduk asal menganut Islam. Hak beragama adalah diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa, tetapi dinafikan kepada mereka, termasuk hak berpolitik di bumi tempat mereka dilahirkan dan berpijak,

“Islam mengajar penganutnya melindungi mangsa kezaliman tanpa batas agama, bangsa dan warna kulit, sebelum wujudnya piagam antarabangsa. Berdasarkan realiti tersebut, sepatutnya masyarakat antarabangsa tidak boleh membiarkan sahaja kelakuan kerajaan Myanmar yang menyekat hak beragama dan berpolitik kepada rakyatnya sendiri di tanah air,” ujarnya.

Tambah Abdul Hadi lagi, langkah sebenar adalah menghalang penghapusan etnik dan tindakan memaksa rakyat Rohingya kerana faktor agama dan kaum, bukannya menghalalkan tindakan Myanmar dengan membuka pintu untuk terus dihalau dan dijadikan pelarian secara terbuka seolah-olah memudahkan tindakan yang salah itu.

“Menerima pendatang adalah tindakan kemanusiaan sementara dan terhad yang wajib ditanggung secara bersama oleh masyarakat antarabangsa mengikut piagam antarabangsa, bukan negara Malaysia sahaja,” tambahnya lagi.

Dalam masa yang sama, perlu diambil tindakan supaya penduduk Rohingya kembali semula ke tanah air asal mereka, bukannya tindakan terbuka yang kekal menjadi pelarian tanpa tempoh dan sempadan, seperti memberikan kemudahan supaya terus dihalau atau melarikan diri tanpa tindakan yang sebenarnya dan Malaysia dijadikan transit, seterusnya menyerahkan tanah air kepada rejim yang zalim itu. – AirTimes

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!