PUTRAJAYA, 25 Apr – Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ke-7 di kawasan Selayang Baru Gombak, Selangor berkuatkuasa hari ini sehingga 3 Mei 2020.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD ke-7 dilaksanakan atas nasihat Menteri Kesihatan bagi membendung jangkitan wabak pandemik COVID-19.
Beliau berkata setelah mengambil kira kebarangkalian jalinan jangkitan COVID-19 di Pasar Harian Kuala Lumpur dan Pasar Borong Kuala Lumpur.
“Langkah ini akan membolehkan aktiviti pengesanan dilaksanakan sepanjang tempoh ini berkuatkuasa,”
“Semua penduduk akan dibuat saringan dan swab test bagi mempastikan mereka benar-benar bersih dari jangkita ini,” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya hari ini.
PKPD ke-7 ini melibatkan 6 parcel yang telah dikenal pasti seperti berikut:
1. Zon A : Jalan Indah 3 dan Jalan Indah 5A, Selayang Indah, Gombak, Selangor
2. Zon B : Jalan Indah 21, Lembah Indah, Selayang Baru, Gombak, Selangor
3. Zon C : Jalan Besar Selayang Baru, Jalan 1 dan Jalan Indah 21, Selayang Baru, Gombak, Selangor
4. Zon D : Jalan 3, 5, 7 dan 9, Selayang Baru, Gombak, Selangor
5. Zon E : Jalan 2, 4, 6 dan 8, Selayang Baru, Gombak, Selangor
6. Zon F : Blok A, B dan C, Selayang Makmur, Gombak, Selangor
Menurut Ismail Sabri, dengan pelaksanaan perintah PKPD ke-7 ini, semua penghuni tidak dibenarkan keluar dari kawasan PKPD sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan.
“Bukan penghuni dan pelawat tidak dibenarkan masuk ke kawasan tersebut sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan,
“Semua aktiviti perniagaan dihentikan di kawasan tersebut, Pangkalan Perubatan (Medical Base) dibuka di kawasan PKPD serta laluan keluar masuk kawasan PKPD ditutup.
Tambahnya lagi, bagi memastikan pematuhan perintah ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan mengawal seluruh kawasan.
“Semua penghuni diminta untuk bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta mematuhi semua arahan pihak berkuasa.
Selain itu, Ismail Sabri berkata bantuan keperluan makanan asas telah mula diagihkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan dibantu petugas agensi-agensi berkaitan.
“Penghuni yang memerlukan bantuan atau mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian Bencana Daerah Gombak 03-6120 1092, 03-6126 1500 atau Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-6126 2247, 03-6126 2240,” ujarnya.