Home Pertahanan dan Keselamatan Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan bantu KKM perangi COVID-19

Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan bantu KKM perangi COVID-19

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia bukan hanya membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan sekatan dan rondaan di jalan raya serta kawasan yang dipertanggungjawabkan, tapi membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam sama-sama memerangi penularan wabak pendamik COVID-19 di negara ini.

Pegawai Memerintah Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HAT Tuanku Mizan), Brig Jen Datuk Dr Mohammad Amirrudin Hamdan berkata, hospital tersebut kini bersedia untuk dijadikan hospital merawat pesakit wabak berkenaan sekiranya diperlukan.

Beliau berkata setakat ini, hospital berkenaan diwartakan sebagai hospital yang tidak mengendalikan kes COVID-19 dan hanya membantu dalam menjalankan ujian sampel pesakit wabak berkenaan.

“Jika pengarahan dari pihak atasan, untuk menjadikan hospital ini sebagai hospital yang mengendalikan pesakit COVID-19, kami sudah bersedia dan hanya mengikut arahan,

“Ia bukan sesuatu yang baru, kami sudah membuat persediaan dan pihak kami berharap ia dapat membantu KKM,

“Segala persiapan termasuk peralatan adalah mengikut garis panduan Prosedur Operasi Standard (SOP) daripada KKM tetapi persiapan dan peralatan khemah mengikut tatacara tentera,” katanya kepada pemberita ketika ditemui baru-baru ini.

Dr Amirr menjelaskan hospital berkenaan hanya menjalankan saringan dan ujian calitan kepada pesakit serta merujuk mereka yang positif ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) atau Hospital Sungai Buloh untuk rawatan selanjutnya.

“Peranan HAT Tuanku Mizan ketika ini lebih kepada membantu HKL dan hospital sekitar dalam merawat pesakit kategori kecemasan,

“Hospital dan makmal Tuanku Mizan kini beroperasi 24 jam sehari dengan berkekuatan seramai 50 anggota dalam satu-satu masa,

“Selain membantu KKM menyediakan kepakaran pembedahan, kami juga menyediakan dewan bedah untuk pakar-pakar dari HKL untuk melakukan pembedahan di hospital ini,” tambahnya.

Menurut Dr Amirr juga, sehingga kini, pihaknya telah membuat 2,662 saringan sampel kesihatan dari KKM dan anggota tentera sendiri selain melakukan ujian calitan di kem-kem tentera lain yang dipercayai mempunyai kluster wabak berkenaan.

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!