PUTRAJAYA, 25 Apr – Sebanyak 10 kes positif COVID-19 bagi kluster pesakit di bawah pemantauan (PUI) Bali di sebuah pusat perubatan Kuantan adalah membabitkan petugas kesihatan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 2,301 ujian saringan COVID-19 telah dijalankan, melibatkan anggota kesihatan dan pesakit dari pusat perubatan tersebut bertujuan untuk memastikan pusat perubatan berkenaan selamat serta bebas daripada jangkitan wabak pendamik itu.
“Daripada 43 kes yang disahkan positif di dalam kluster ini, sebanyak 10 orang adalah anggota kesihatan pusat perubatan,
“Langkah-langkah kawalan penularan jangkitan COVID-19 sedang giat dijalankan dengan kerjasama rapat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), termasuk proses dekontaminasi dan pemindahan pesakit ke hospital-hospital KKM yang berdekatan, katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, daripada 43 pesakit, 30 orang sedang dirawat di wad Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Pahang termasuk seorang di Unit Rawatan Rapi (ICU).
“Kes indeks (iaitu kes ke-4684) bagi kluster ini mempunyai sejarah perjalanan ke Bali, Indonesia,
“Kes tersebut mempunyai kontak rapat dengan kes ke-1575 (iaitu abang kepada kes indeks) yang telah dimasukkan ke wad Severe Acute Respiratory Infection (SARI) pusat perubatan tersebut pada 19 Mac 2020 dengan gejala demam dan jangkitan saluran pernafasan,
“Manakala 9 pesakit telah sembuh dan 3 lagi telah meninggal dunia iaitu membabitkan kes ke-1,575, ke-5,064 serta ke-4,129,” tambahnya.
Beliau turut menegaskan kepada semua petugas kesihatan kerajaan dan swasta tentang kepentingan untuk menggunakan alat penutup mulut dan hidung (face mask) terutamanya semasa mengendalikan kes-kes Influenza Like Illness (ILI) / SARI.
“Selain itu, pemakaian alat pelindung diri (PPE) yang sesuai semasa melakukan sebarang prosedur klinikal adalah amat penting,
“Semua anggota kesihatan dan barisan hadapan (frontliners) turut dinasihati untuk mengamalkan langkah-langkah pencegahan seperti yang telah disarankan terutamanya dalam memastikan tangan sentiasa bersih, mengamalkan jarak sosial (social distancing) di dalam dan luar tempat kerja serta pemakaian alat pelindung diri (PPE) mengikut keperluan,” jelas Dr Noor Hisham.